Sunday 1 July 2012

Festival Kuala Lumpur 2012 sepanjang Julai


KUALA LUMPUR 30 Jun - Festival Kuala Lumpur 2012 secara rasminya dilancarkan hari ini dengan 86 aktiviti kesenian dan kebudayaan telah disediakan bermula esok hingga penghujung bulan Julai.


Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pelbagai program telah disediakan dengan tema Di sini semaraknya seni. "Saya berharap semua masyarakat, pencinta seni, pelancong luar mahu pun dalam dapat mengikuti festival ini. Selain itu, kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam festival ini menunjukkan komitmen bagi memajukan industri kreatif negara," katanya. Beliau berkata demikian menerusi tayangan ucapan rakamannya di sini hari ini.


Pelancaran festival tersebut telah dirasmikan bersama oleh Kamaruddin; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusop dan Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Kudratullah Fatimi Affandi. Sempena perasmian ini juga, urus setia festival menerima 10 buah kenderaan tajaan Naza World untuk tujuan promosi.


Festival itu telah mula dianjurkan sejak Julai 2006, dibahagikan kepada enam bidang utama iaitu seni persembahan, makanan warisan, program riadah, pelancongan, warisan dan permainan tradisional. Istimewanya festival kali ini adalah bertepatan dengan kedatangan bulan Ramadan pada pertengahan Julai. Untuk itu, unsur-unsur sambutan festival akan turut dimeriahkan dengan aktiviti kerohanian, kekeluargaan, keilmuan dan muhibah yang disemarakkan menerusi Festival Ramadan yang berterusan sehingga Ogos.


Festival KL 2012 bertujuan memanfaatkan kehadiran pelancong dengan memberi peluang mereka mengenali keindahan seni budaya warisan Malaysia, di samping memperkenalkan pusat kesenian dan rekreasi serta kawasan tumpuan pelancong di sekitar Kuala Lumpur. Festival ini juga menyediakan peluang kepada masyarakat dan pelancong luar negara menikmati keunikan seni budaya sama ada tradisional hinggalah ke kontemporari serta meliputi pelbagai genre persembahan. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai festival tersebut boleh melayari laman web http://www.klfestival.org.my/.
- http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.