Sunday 20 May 2012

Payang Walk kawasan pelancongan


KUALA TERENGGANU 19 Mei - Beberapa laluan di sekitar Pasar Payang dekat sini akan dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan yang dikenali 'Payang Walk' tidak lama lagi.


Bermula dari Pejabat Pos negeri, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km), ia akan turut memberikan keselesaan kepada pejalan kaki dan orang ramai untuk berbasikal selain bersiar-siar dan membeli-belah. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, Payang Walk berkonsepkan penyediaan dan penawaran pelbagai produk tarikan sepanjang laluan itu. "Ia adalah usaha memudahkan pengunjung mendapatkan pelbagai produk tempatan dan menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan selain melihat keindahan warisan negeri," katanya.


Menurutnya, buat masa ini beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama membantu melaksanakan projek berkenaan. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pakej Berbasikal Terengganu Cuti-Cuti 1Malaysia 2012 di Taman Awam Batu Buruk, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Musa Yusof dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri, Mohd. Nasir Khushairi.


Abdul Rahin berkata, projek Payang Walk dijadual dilancarkan Julai ini serentak dengan pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan acara berbasikal sebagai acara besar-besaran. Katanya, kira-kira 7,000 peserta dari seluruh negeri akan berbasikal melalui persisiran pantai sejauh kira-kira 240 km yang bermula di Besut melalui beberapa daerah kecuali Hulu Terengganu hingga ke Kemaman.


Menurut beliau, aktiviti berbasikal di negeri ini dilihat satu fenomena yang luar biasa dan ia perlu disokong bagi menjadikannya sebagai satu aktiviti riadah yang sihat serta bebas daripada pencemaran asap. Mengenai pakej berbasikal yang dilancarkan hari ini, Abdul Rahin berkata, ia merupakan satu pakej baru yang diperkenalkan dengan kerjasama Tourism Malaysia, hotel dan agensi pelancongan.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.