Sunday 20 May 2012

Dibuai keseronokan jelajah 'Hutan Dalam Bandar'


TELOK KEMANG 17 Mei - Negeri Sembilan mempunyai produk pelancongan terkini apabila Hutan Simpan Sungai Menyala akan dibuka kepada orang ramai pada bulan depan.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, produk terbaru itu yang dipromosikan merupakan 'Hutan Dalam Bandar' dan Pusat Pelancongan Pendidikan Pengurusan Hutan Tropika pertama di negara ini disebabkan statusnya sebagai hutan dara yang masih wujud di Semenanjung Malaysia. ''Hutan lipur di negeri ini kebanyakannya terletak di tanah lembah, tetapi Pusat Pelancongan Pendidikan Pengurusan Hutan Tropika ini berada di hutan tanah pamah yang menjadikan ia satu lokasi unik untuk diterokai," katanya di Port Dickson dekat sini baru-baru ini.


Justeru, beliau menggalakkan pengusaha hotel di sekitar Port Dickson mengatur pakej lawatan ke lokasi tersebut bagi memperkenalkan produk baru pelancongan, di samping mempergiatkan aktiviti ekonomi. Katanya, kemudahan yang disediakan amat memuaskan hati tetapi masih ada projek yang belum didirikan lagi. ''Perancangan Jabatan Perhutanan negeri bagi pembinaan Skyway yang dibuat daripada aluminium merupakan sesuatu yang menarik.
''Dengan ketinggian jejantas 30 meter dan laluan sepanjang 500 meter menuju ke menara setinggi 50 meter, pelancong akan berpeluang melihat flora dan fauna di sini," katanya.


Mohamad berkata, selain boleh menjadi tarikan baru pelancongan negeri, ia juga amat sesuai bagi menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai hutan tropika, selain mempunyai kemudahan penginapan, dewan, bilik mesyuarat dan perpustakaan. Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, sehingga kini, pihaknya hanya menerima pengunjung daripada jabatan kerajaan untuk menjalankan kursus. ''Kita akan menambah bilangan kakitangan apabila ia dibuka kepada umum kelak bagi mengawasi kawasan yang luas ini," katanya.


Katanya, apabila ia dibuka kelak, akan ada pemandu pelancong dalam kalangan kakitangan jabatan dan pengunjung dibawa melihat flora dan fauna, tumbuh-tumbuhan, hidupan liar, selain dibawa ke pameran Orang Asli serta jabatan ini. ''Sehingga kini, sebanyak RM5.5 juta dibelanja bagi membangunkan infrastruktur di sini yang diperbuat dari kayu balak dan beberapa juta lagi masih diperlukan bagi membina Skyway dan beberapa projek lain," katanya.
-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.