Tuesday 3 April 2012

Polis pelancong terima 4 motosikal

KUALA KANGSAR 2 April - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar hari ini menerima sumbangan empat buah motosikal daripada kerajaan negeri bagi kegunaan pasukan polis pelancong membuat rondaan di kawasan tersebut.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman pada program 'Moh Weh Ke Sayong' di Pesisiran Sayong, di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad berkata, khidmat polis pelancong amat diperlukan kerana daerah ini dijangka menerima kedatangan ramai pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

"Memandangkan Kuala Kangsar semakin popular dan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara, kewujudan polis pelancong di kawasan-kawasan tumpuan amat penting bagi menjamin keselamatan mereka. "Saya amat menghargai kesudian kerajaan negeri menyumbangkan empat buah motosikal kepada pasukan polis pelancong di sini," katanya sempena program tersebut di sini.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memancing dan gasing, pameran dan demo kraftangan serta persembahan kebudayaan disediakan kepada para pelancong. Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Supritendan Guan Beng Kang.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.