Tuesday 3 April 2012

Melaka sasar sejuta pengunjung muzium

MELAKA 2 April - Kerajaan negeri menyasarkan sejuta pengunjung akan melawat muzium-muzium di Melaka tahun ini berikutan pertambahan dua lagi muzium yang bakal dirasmikan pembukaannya iaitu Muzium Kapal Selam dan Galeri Golf.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 800,000 pengunjung dicatat melawat 24 buah muzium dan kutipan diperoleh adalah sebanyak RM2 juta. "Ini satu perkembangan yang amat sihat dan saya percaya jika kita memperbaiki lagi persembahan di kesemua muzium dan pertambahan dua lagi muzium mungkin boleh mencecah sejuta pengunjung tahun ini. "Ini sekali gus boleh menjana pendapatan rakyat di negeri ini di samping mempertahankan sejarah dan khazanah negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan anjuran bersama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di Seri Negeri di sini hari ini. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Sementara itu, Khamis berkata, Galeri Golf yang dibina di Jalan Bandar Kaba dengan kos RM1.2 juta itu akan mula dibuka kepada pengunjung pada 15 April ini. Galeri tersebut katanya, menempatkan kisah-kisah sejarah sukan golf negara selain turut dimuatkan koleksi peribadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob. Menurut Khamis, harga tiket yang dicadangkan adalah RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Dalam pada itu kata Khamis, pihaknya masih lagi menanti peruntukan daripada Kementerian Pelancongan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan Muzium Kapal Selam. Katanya, sejak dibuka untuk lawatan awam pada 1 Januari lalu, sebanyak 70,000 kunjungan telah direkodkan. "Saya rasa bila kerja-kerja mengecat semula siap dan mula dibuka untuk kunjungan ramai, jumlah pengunjung mungkin akan berlipat kali ganda," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.