Monday 30 April 2012

Industri inap desa jana pendapatan RM1 juta


MOHAMAD Hasan (duduk, tengah) bersama peserta program inap desa yang terpilih di Inap Desa Kampung Sega, Rantau, Seremban, semalam. -MINGGUAN/NOOR HANIS HARUN


SEREMBAN 28 April - Keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya tradisional masyarakat Melayu yang ditawarkan inap desa Kampung Sega, dekat Rantau di sini berpotensi besar dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri itu.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, berdasarkan statistik yang dikeluarkan pada tahun lalu sahaja lebih 11,000 pelancong dari luar negara datang menginap di inap desa di seluruh negeri ini. Katanya, respons positif yang diterima daripada pelancong dalam dan luar negara telah menjana pendapatan tidak kurang RM1 juta setiap tahun.


''Kita ambil contoh acara ibadah korban sempena Aidiladha yang diadakan sejak 2006 yang mana program untuk mempromosi dan memperkenalkan pelancongan ibadah kepada pelancong asing terutamanya dari Singapura. ''Kita ingin pelancong-pelancong menyaksikan dan terlibat sendiri dengan aktiviti korban bermula dengan pembahagian lembu, penyembelihan, melapah sehingga pengagihan daging yang dijalankan dalam suasana kampung," katanya.


Mohamad berkata demikian pada majlis penyerahan sijil kepada 20 peserta program inap desa Kampung Sega Ulu, Rantau, dekat sini hari ini. Jelas beliau, kerajaan negeri telah mengenal pasti jalan dan kemudahan asas yang rosak untuk diperbaiki bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan kondusif di Kampung Sega. "Kerajaan negeri telah meluluskan RM500,000 untuk diagihkan kepada pentadbiran inap desa Kampung Sega bagi projek membaik pulih jalan dan kemudahan asas," katanya. Menurut beliau, pembangunan sektor pelancongan berasaskan inap desa ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi harian penduduk kampung, malah dapat meningkatkan lagi kemajuan sektor pelancongan di negeri ini.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.