Saturday 4 February 2012

Sukau jadi destinasi pelancong baharu

SUKAU 3 Feb. - Durian kampung dan beras padi sawah merupakan makanan tempatan yang perlu ditonjolkan sebagai salah satu produk utama bagi menarik pelancong ke daerah Sukau.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Datuk Saddi Abdul Rahman berkata, pengunjung akan dapat menikmati kepelbagaian buah durian berisi kuning dan putih menyerupai kapas selain beras padi sawah yang telah dituai.

''Justeru, saya mencadangkan penduduk kampung daerah ini agar meningkatkan usaha menanam buah-buahan serta kegiatan penanaman padi kerana usaha tersebut mampu melonjakkan nama Sukau sebagai destinasi pelancongan baru di negara ini," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau itu berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di Kampung Abai, semalam.

Saddi berkata, daerah itu bukan sahaja beruntung kerana memiliki produk makanan tempatan, tetapi juga dikelilingi flora dan fauna yang indah.

''Apa lagi dengan kedudukan Kampung Aba menghampiri muara Sungai Kinabatangan, fenomena air 'payau' yang dihasilkan oleh pertemuan air laut dan sungai menjadikan rasa dan khasiat produk ikan patin dan udang gala lebih 'berdaya selera' berbanding di tempat-tempat lain," ujarnya.

Kampung Abai yang bererti 'dapat' dalam bahasa Sungai, terletak 45 minit perjalanan menggunakan bot laju dari bandar Sandakan dan kurang sejam menggunakan laluan sama daripada Kampung Sukau.

Selain populasi monyet belanda, buaya, gajah pigmy, tasek ladam, hutan bakau dan nipah, semua itu merupakan tarikan yang menggamit pengunjung terutama dari Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Saddi turut mengingatkan masyarakat kampung agar memperkasakan usaha seperti mengindahkan lagi rumah inap desa milik mereka.

Katanya, langkah menambah bilik serta memperbaiki kediaman inap desa mampu menampung lebih ramai pelawat dalam satu-satu masa selain kemudahan penginapan yang disediakan oleh sebuah syarikat pengusaha pelancongan beroperasi di situ.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.