Friday 3 February 2012

Royal Belum jadi tumpuan dunia


Dr. Zambry Abd. Kadir (depan) bersama barisan Exco negeri meninjau projek Pos Pemeriksaan Royal Belum yang telah siap dibina di Hutan Belum dekat Gerik, kelmarin.

GERIK 2 Feb. – Hutan Royal Belum berusia lebih 130 juta tahun di Hulu Perak kini menjadi tumpuan dunia apabila jumlah pelancong asing yang mengunjungi kawasan itu meningkat sehingga 40 peratus berbanding hanya enam peratus tiga tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkembangan positif itu membuktikan pelbagai pendekatan yang dilakukan kerajaan negeri bagi menjadikan hutan itu sebagai antara destinasi pelancongan bertaraf dunia, mula membuahkan hasil. Sehubungan itu, katanya, Pelan Induk Bersepadu Royal Belum-Temenggor yang kini dalam peringkat akhir, dijangka mampu merealisasikan matlamat mengukuhkan potensi hutan simpan itu sebagai antara aset pelancongan terkemuka di negeri ini.

‘‘Pelan ini kita laksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Koridor Utara (NCIA) dan mereka kini sedang dalam peringkat akhir sebelum ia dapat kita laksanakan.
‘‘Kita harap dengan pelaksanaannya kelak, Hutan Royal Belum akan jadi salah satu destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya selepas mengadakan lawatan hampir empat jam di sekitar hutan tersebut semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak, Datuk Abdul Karim Osman serta barisan Exco kerajaan negeri.

Zambry yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Banding Resort memberitahu, pihaknya juga sedang menimbang untuk menaiktaraf landasan kapal terbang tentera di sini supaya boleh digunakan sebagai laluan komersial. Langkah itu, katanya, dapat memudahkan usaha kerajaan negeri membawa lebih ramai pelancong ke hutan tersebut selain menjadikan lapangan terbang itu sebagai pangkalan udara tentera. ‘‘Kita rancang memanjangkan landasan daripada 450 meter kepada 700 meter, setidak-tidaknya Fokker DHC-7 boleh mendarat. Ia masih di peringkat cadangan kerana kita perlu berbincang dengan pihak tentera terlebih dahulu,” jelasnya.

Menurut Zambry, kerajaan negeri juga bersetuju supaya tempoh permohonan permit untuk memasuki hutan tersebut dipendekkan kepada hanya 24 jam berkuatkuasa 1 Januari lalu, berbanding tujuh hari sebelum ini. Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan siri perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk tentera dan polis dalam usaha menjadikan hutan itu sebagai kawasan tumpuan pelancong. ‘‘Ada yang bertanya, kalau kita mahu bangunkan pelancongan, kenapa masih perlu letak syarat mohon permit, kita perlu faham hutan ini kawasan sempadan negara. Syarat ini penting untuk kita menjaga keselamatan pelancong yang masuk ke sini,” jelasnya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.