Tuesday 28 February 2012

Raub destinasi sukan lasak

RAUB 27 Feb. - Aktiviti sukan lasak dan rekreasi di daerah ini mula mendapat tempat apabila ia dimasukan dalam kalendar Pelancongan Pahang bagi menarik peminat sukan lasak dari seluruh negara dan antarabangsa berkunjung ke daerah itu.

Salah satu pertandingan yang dianjurkan adalah Karnival Motorcross Antarabangsa Raub Pahang yang dianjurkan oleh Persatuan Permotoran Daerah Raub (PPDR) di sini baru-baru ini. Pengerusi persatuan berkenaan, Raja Ali Raja Meran berkata, penganjuran karnival tersebut bukan setakat pertandingan semata-mata tetapi memperkenalkan daerah itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

''Kami percaya melalui aktiviti seperti itu ia menyemarakkan lagi minat pelancong asing datang ke sini mengambil bahagian dalam pertandingan sukan lasak. ''Walaupun baru pertama kali pertandingan itu diadakan, kami berjaya menarik penyertaan para pelumba dari Thailand, Singapura dan Brunei," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu disertai 180 pelumba termasuk empat pelumba wanita dan kanak-kanak yang berusia sembilan tahun. Kejohanan itu yang dibahagi kepada lima kategori itu turut mengadakan Klinik Sukan Motocross bertujuan memperkenalkan sukan lasak dan menarik minat mereka dalam usaha melahirkan jaguh-jaguh sukan ternama pada masa akan datang. Peserta diberi taklimat dan penerangan mengenai asas penggunaan motosikal motocross oleh jurulatih serta teknik tunggangan bagi mengelak ditimpa kemalangan.

Bagi mencapai matlamat tersebut katanya, PPDR membina litar mengikut spesifikasi motocross antarabangsa sepanjang dua kilometer di pinggir hutan Jalan Cheroh meliputi kawasan seluas 20 hektar. Katanya, selain litar berkenaan, pihaknya akan membangunkan kawasan itu sebagai trek untuk pertandingan kenderaan pacuan empat roda pada masa akan datang.

Beliau yakin pembinaan kedua-dua trek berkenaan mampu melonjakkan nama daerah itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semulajadi.

''Pada pertandingan tahun depan, PPDR berharap dapat menarik lebih ramai penyertaan peserta luar negara terutama peserta dari negara-negara Eropah, Jepun dan Australia. ''Litar ini juga akan menjadi tempat anak-anak muda tempatan menggilap serta mencungkil bakat mereka dalam sukan lasak itu supaya dapat melangkah lebih jauh dalam sukan pemotoran," katanya.

Katanya, daripada maklum balas yang diterima daripada pihak terbabit dengan penganjuran sukan itu mendapati, litar yang terdapat di situ adalah antara terbaik di negara ini dan memenuhi spesifikasi litar perlumbaan motocross. ''Melalui sumbangan yang tidak seberapa ini, PPDR berharap dapat memperkenalkan keindahan alam semula jadi dan kebudayaan rakyat tempatan kepada pelancong luar negara.

''Perkembangan industri pelancongan di kawasan itu secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan untuk memasarkan produk keluaran mereka," katanya.

-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.