Tuesday 21 February 2012

Promosi pelancongan tentera capai sasaran

SEPANGGAR 20 Feb. - Kesungguhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempromosikan negeri ini mencapai kejayaan besar apabila seramai 10,021 pelancong terdiri daripada tentera asing mendarat di Teluk Sepanggar sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan berkata, jumlah kehadiran pelancong tentera tahun lalu mencatat peningkatan hampir sekali ganda berbanding tahun sebelumnya. Katanya, seramai 3,761 pelancong tentera tiba di sini pada 2010, manakala pada tahun lalu meningkat kepada 6,260 orang, biarpun jumlah pendaratan kapal tentera laut asing mengalami pengurangan sebanyak dua kapal.

"Sebanyak 30 kapal tentera laut asing mendarat di pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar bagi tempoh dua tahun lalu. "Ia satu pencapaian yang sangat membanggakan dan berharap pelancongan tentera di sini akan mencatat pencapaian lebih baik pada tahun-tahun akan datang, sekali gus membuktikan perairan negeri ini selamat dikunjungi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Anuwi berkata demikian pada majlis perbarisan perpisahan beliau yang akan melepaskan jawatan pada 24 Februari ini. Tempat Anuwi yang ditukarkan ke jawatan baharu sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Latihan di Markas TLDM diganti oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Datuk Mohammad Rosland Omar.

Mengulas lanjut, Anuwi berkata, selain keindahan Sabah, pangkalan TLDM Teluk Sepanggar menjadi pilihan kapal tentera laut asing kerana memiliki kemudahan logistik dan sukan yang baik. Menurutnya, sebanyak 16 kapal tentera laut asing mendarat di pangkalan itu pada 2010, manakala 14 buah pada tahun lalu. "Pada tahun lalu, lapan buah kapal dari Amerika Syarikat, dua dari Brunei dan sebuah kapal masing-masing dari Perancis, India, Australia serta Singapura mendarat di sini," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.