Saturday 11 February 2012

Pelancongan pendidikan beri kesan positif


FARRAH Nabila, pelajar tahun enam SK Seri Duyong beramah mesra dengan salah seorang pelajar dari Chiang Mai, Thailand di Duyong, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 10 Feb. - Sektor pelancongan berasaskan pendidikan yang dimulakan sejak 2009 semakin menampakkan kesan positif apabila berjaya menarik kedatangan 10 rombongan pelancong membabitkan pelajar sekolah dari Singapura tahun ini.

Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan negeri, Jeffri Munir berkata, program itu bukan sahaja membentuk sahsiah diri tetapi membolehkan pertukaran budaya dan idea dilakukan antara pelajar dari negara terlibat. "Sehingga kini, kita telah menerima dua lawatan dari sekolah luar negara dan kebanyakannya dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Mac ini ada satu lagi lawatan dari Sekolah Rendah Casuarina, Singapura dan ia diikuti lawatan sembilan kumpulan pelajar lain," katanya kepada pemberita selepas menerima rombongan pelajar, guru dan ibu bapa dari Sekolah Anubaan Chiang Mai, Thailand di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, Kampung Permatang Duyong di sini semalam. Hadir sama Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Ali Yusop.

Selain disambut dengan paluan kompang, rombongan seramai 30 orang itu diceriakan persembahan silat dan nyanyian lagu Dondang Sayang sebelum dibawa melawat sekitar sekolah berkenaan. Dalam pada itu, wakil rombongan itu yang juga Penolong Ketua Guru Bahasa Inggeris Sekolah Anubaan, Chutarut Dethwongye berkata, menerusi lawatan tersebut pihaknya bertukar pandangan tentang sistem pendidikan kedua-dua negara.

Turut menarik perhatian rombongan ialah konsep 'Go Green' yang diterapkan pelajar SK Seri Duyong yang merupakan Johan Go Green Melaka Bandaraya Bersejarah tahun lalu. Sekolah Anubaan yang kini berusia 76 tahun mempunyai seramai 120 orang guru dan 2,100 orang pelajar.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.