Saturday 18 February 2012

Gugusan Pulau Orkid di Kenyir


AHMAD Said (kiri) melawat ke Pulau Orkid yang dibangunkan di Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, kelmarin .

HULU TERENGGANU 17 Feb. - Tiga buah pulau kecil yang keseluruhannya seluas 2.7 hektar di Tasik Kenyir sedang dimajukan sebagai gugusan Pulau Orkid bagi menarik peminat bunga dari seluruh dunia. Lebih 3,000 spesies orkid bakal mewarnai Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit di kawasan utara tasik itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan menempatkan spesies orkid liar serta hibrid dari dalam dan luar negara di pulau itu. Menurutnya, projek itu kini mencapai tahap 35 peratus kemajuan dengan 400 spesies orkid terkumpul dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Katanya, sebahagian spesies orkid liar yang bakal ditempatkan di pulau ini berasal dari negeri ini iaitu yang diperoleh dari sekitar tasik ini, Cemerong di Dungun, kawasan Gunung Tebu (Besut) dan Lata Payong (Setiu).

"Apabila siap kelak, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis orkid termasuk yang terbesar di dunia dan yang paling kecil iaitu hanya boleh dilihat dengan kanta pembesar. ''Ada juga yang paling wangi dan paling busuk," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke pulau berkenaan semalam.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri, Datuk Mat Razali Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud. Menurut Ahmad, dua jambatan yang menghubungkan tiga pulau itu telah siap termasuk sebuah jambatan gantung dan laluan pejalan kaki. "Kini kontraktor sedang membina kios jualan dan cenderamata, pusat penyelidikan dan pembenihan orkid serta beberapa lagi kemudahan lain.

"Pelbagai jenis orkid hibrid boleh dibeli pengunjung apabila dibuka kelak dan ada yang bernilai mencecah RM10,000. Orkid yang mahal ini biasanya untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan ia spesies terancam," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.