Tuesday 7 February 2012

Daerah Raub terima RM4.19 juta

RAUB 6 Feb. – Kementerian Pelancongan memperuntukkan sebanyak RM4.19 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pelancongan di daerah ini tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi menaiktaraf kemudahan asas pelancongan serta pusat rekreasi Pulau Chekas, manakala RM500,000 untuk kemudahan dan menaik taraf perhentian teksi bandar di sini. Menurutnya, daripada peruntukan itu, sebanyak RM500,000 akan dibelanjakan bagi melengkapkan pelbagai kemudahan asas di Pusat Sukan Air atau Pesta Air di Batu Malim.

‘‘Manakala masing-masing RM500,000 lagi diperuntukan bagi menaiktaraf dan mengindahkan stesen bas serta pusat pelancongan Jeram Besu. ‘‘Pada masa sama RM1 juta akan dibelanjakan untuk jalan-jalan yang menghubungkan produk pelancongan di Sungai Ruan dan menaiktaraf gerai serta arked perniagaan di Dataran Raub,” katanya kepada pemberita semasa meninjau Taman Tasik Raub di sini, kelmarin.

Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub memberitahu, pihaknya juga berusaha menaiktaraf landskap Taman Tasik Raub termasuk menyediakan papan tanda 1Malaysia Green 1Malaysia Clean di sekitar tasik membabitkan kos RM500,000. Katanya, RM300,000 lagi turut diperuntukkan bagi membina tempat letak kenderaan di taman tasik berkenaan.

Katanya, semua usaha terbabit bertujuan mengindahkan persekitaran kawasan pelancong di daerah itu sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong. Beliau menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan kerana pelancong hanya akan singgah dan berbelanja jika bandar yang dilawati mereka itu bersih dan ceria.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.