Friday 13 January 2012

Pelancongan domestik sumbang RM34b kepada negara

MANADO (SULAWESI UTARA) 12 Jan. – Pengenalan program Cuti-Cuti 1Malaysia memperlihatkan hasil yang positif apabila 110 juta perjalanan direkodkan rakyat Malaysia yang melancong di dalam negara dengan menyumbang pendapatan sebanyak RM34 bilion pada 2010.

Kejayaan berkenaan kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, memberi petanda bahawa industri pelancongan domestik juga mampu memberi sumbangan bermakna kepada pendapatan negara. Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan akan terus memberi tumpuan meningkatkan promosi jenama Cuti-Cuti 1Malaysia pada masa depan dengan memperkenalkan pelbagai kaedah promosi bagi menarik perhatian pelancong tempatan.

“Sebilangan besar daripada kita terlupa Malaysia memiliki banyak destinasi pelancongan yang menarik dan perlu dikunjungi. “Justeru, fokus kita pada masa depan ialah dengan memberi perhatian pada percutian domestik kerana segmen ini menawarkan pulangan yang besar kepada negara,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di sini hari ini.

Beliau turut menarik perhatian kejayaan menakjubkan dicapai negara China yang komited memberi fokus pada pelancongan domestiknya. Untuk tahun lalu, kata beliau, China memperoleh pendapatan sebanyak RM968 bilion hasil daripada segmen pelancongan domestiknya. Katanya, kejayaan yang dicapai China itu menyuntik semangat buat Malaysia untuk menggandakan usaha meluaskan lagi ruang pasaran pelancongan domestik.

Pada masa sama, Yen Yen memberitahu, kos percutian dalam negara masih berada di kedudukan yang rendah jika dibandingkan dengan belanja percutian ke luar negara termasuk di negara-negara serantau. Justeru, tegasnya, pandangan yang mendakwa percutian dalam negara sebagai membebankan sebagai tidak benar.

Menurut beliau, rakyat tempatan yang memilih untuk bercuti dalam negara harus membuat pilihan yang tepat dan jangan terikut-ikut gaya percutian pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia. “Pelancong tempatan harus faham bahawa di Malaysia kita menawarkan pelbagai pilihan bentuk penginapan.

“Saya sedia maklum, keluhan paling banyak mengenai kos hotel. Kenapa pilih hotel yang mahal sedangkan kita ada pilihan lain seperti homestay dan beberapa konsep penginapan yang murah dan berkualiti,” kata beliau. 

–Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.