Monday 12 December 2011

Sasar kedatangan lima juta pelancong

LUMUT 11 Dis. - Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan lima juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan promosi dan kempen TMP 2012 yang giat dijalankan. Malah katanya, beberapa program menarik sempena TPM 2012 telah dirangka bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi negeri ini.

"Kita mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri serta mampu menarik kedatangan pengunjung. "Saya yakin sasaran tersebut akan tercapai berikutan pelbagai promosi telah dijalankan membabitkan beberapa ikon pelancongan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Laut Pangkor 2011 dekat sini, kelmarin. Hadir sama Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman dan Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Zamri Man.

Zambry berkata, Pesta Laut Pangkor contohnya merupakan produk terbaharu pelancongan Perak yang mampu menarik pengunjung dengan menampilkan pelbagai acara menarik yang membabitkan interaksi antara keindahan alam semulajadi dan aktiviti sukaneka berasaskan maritim. Katanya, pesta yang terkenal satu ketika dahulu itu, kini muncul kembali dengan menjanjikan pelbagai acara menarik untuk para pengunjung. "Buat julung kalinya, pesta laut ini diadakan semula selepas dihentikan bertahun dahulu. Walaupun suasananya berbeza, ia tetap dapat mengembalikan nostalgia pesta laut yang pernah diadakan dahulu," katanya.

Sementara itu, Hamidah berkata, kerajaan negeri telah pun memasukkan program tersebut dalam kalendar pelancongan Perak dalam usaha mengangkat Pesta Laut Pangkor sebagai program kebangsaan. "Promosi giat dijalankan bagi mempromosikan Perak sebagai tempat pelancongan yang mesti dilawati di negeri ini. "Saya percaya sasaran 2.5 juta pengunjung ke daerah ini mampu dicapai berbanding jumlah purata pelancong yang datang ke Lumut dan Pangkor sebanyak 1.5 juta setiap tahun," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.