Friday 2 December 2011

Malaysia Mampu Capai 24 Juta Pelancong Asing Tahun Ini - Ng

PUTRAJAYA: Malaysia mampu mencapai 24 juta pelancong asing tahun ini walaupun berlaku pelbagai fenomena dunia seperti gempa bumi dan Tsunami di Jepun, krisis ekonomi di Eropah, pergolakan politik di Timur Tengah dan banjir buruk di Thailand.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata kementerian sedang melipatganda usaha untuk memastikan jumlah pelancong ke negara ini terus stabil dan mencapai sasaran pada tahun-tahun akan datang. Antara usaha itu ialah memfokuskan kepada negara berpotensi untuk menarik pelancong dan berbincang dengan syarikat penerbangan asing untuk mengadakan penerbangan terus ke negara ini.

"Kami telah bincang dengan pihak-pihak tertentu di Rusia untuk adakan penerbangan sewa khas dari Rusia ke sini. Sebab kita tidak boleh harapkan sepenuhnya kepada MAS (Malaysian Airlines). "Kami mengalu-alukan semua penerbangan terus datang ke Malaysia. Misalnya kita tidak ada penerbangan terus dari Moscow. Kita memerlukan lebih banyak penerbangsan ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Kota Kinabalu dan Langkawi. Itu mustahak," katanya. Ng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulalan pertama kementerian itu di bangunan baru di sini, Jumaat.

Malaysia menerima 23 juta pelancong asing pada 2009 dan jumlah itu meningkat kepada 24.6 juta orang tahun lepas dengan pendapatan sebanyak RM56.4 bilion serta mensasarkan 25 juta pelancong tahun ini. Beliau berkata walaupun jumlah pelancong asing yang membeli pakej pelancongan tiga negara, Thailand-Malaysia-Singapura terjejas dan memberi sedikit kesan kepada pendapatan negara, jumlah pelancong persendirian tetap meningkat.

Pelancongan dalam negeri juga masih stabil dan tidak terjejas meskipun banjir di beberapa negeri, katanya. Ng berkata kewujudan beberapa kasino baru di negara jiran Singapura turut memberi persangian sengit dalam menarik pelancong ke negara ini. Sejumlah 36 juta pelancong asing dijangka berkunjung ke negara ini menjelang tahun 2020 dengan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion, katanya.
-Bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.