Sunday 4 December 2011

111.5 juta pelancong sumbang RM34.7 bilion


ROSMAH Mansor (tengah) bersama Ng Yen Yen (dua dari kiri), Azizan Noordin (kiri) dan Ong Hong Peng (kanan) menari bersama rakyat pada majlis pelancaran Karnival Pelancongan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia 2011 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Jumlah pelancong domestik tahun lalu mencecah 111.5 juta orang dan ia telah menyumbangkan RM34.7 bilion kepada pendapatan negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, Sabah serta Sarawak menjadi destinasi pilihan paling tinggi dalam kalangan pelancong domestik dan ia mungkin disebabkan faktor tambang murah. "Pergerakan ini memperlihatkan aliran ekonomi yang positif pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar selepas karnival pelancongan tarian Cuti-Cuti 1Malaysia 2011 di sini, hari ini.

Karnival yang disertai oleh lebih 16,000 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, swasta, pelajar sekolah, warga emas dan pelancong itu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng dan Pemangku Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Azizan Noordin hadir sama.

Bercakap mengenai karnival itu, Yen Yen berkata, ia bukanlah satu persembahan kebudayaan, sebaliknya menonjolkan kepelbagaian masyarakat Malaysia kepada pelancong asing. Katanya, tarian Cuti-cuti 1Malaysia itu menggabungkan tarian utama negara iaitu zapin dan joget, tarian Cina dan India, sumazau (Sabah), datu julud (Sarawak), sewang dan Siam.

Menurutnya, karnival yang dianjurkan sebelum ini iaitu pada 2009 dan tahun lalu turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records bagi penyertaan paling ramai itu 12,000 dan 15,333 orang. Bagaimanapun katanya, penyertaan kali ini perlu penambahan sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding tahun lalu bagi membolehkan ia disenaraikan dalam Malaysia Book of Records. "Sesuatu yang mustahil untuk memuatkan lebih 20,000 peserta di sesebuah kawasan walaupun pada awalnya itu sasaran kita," ujarnya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.