Thursday 10 November 2011

Pameran lukisan Khadijah Hashim


Khadijah Hashim bersama sebuah daripada koleksi lukisan yang dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya akan menganjurkan Pameran Solo Lukisan Khadijah Hashim di Istana Budaya bermula pada 11 hingga 20 November ini.

Pameran bersempena pementasan teater Badai Semalam nukilan Khadijah itu bertujuan menampilkan kepada umum satu lagi penglibatan beliau dalam bidang sani selain terkenal sebagai penulis novel. Pameran bertemakan Warna Alam itu akan diadakan di Salasar Bayu, Istana Budaya. Ia dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam.

Sebanyak 20 lukisan cetusan idea Khadijah yang bertemakan alam akan dipamerkan pada pameran tersebut. Lukisan-lukisan tersebut juga terbuka untuk jualan kepada orang ramai. Ini merupakan koleksi eksklusif Khadijah yang baru pertama kali dipertontonkan kepada umum dan siri kedua pameran solo beliau. Semua karya beliau dilukis menggunakan teknik berus Cina yang unik di atas rice paper.

Separuh daripada hasil jualan lukisan tersebut akan disumbangkan kepada Badan Keluarga Utusan Melayu dan rumah anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan. Sehubungan itu, satu majlis pelancaran pameran akan diadakan esok disempurnakan oleh Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Khadijah ketika dihubungi menyifatkan pameran solo beliau kali ini bertujuan berkongsi keindahan alam ciptaan Tuhan yang dipersembahkan menerusi kemahiran menggunakan berus Cina. "Saya mahu penonton yang datang ke Istana Budaya menyaksikan pementasan teater Badai Semalam turut menghayati hasil karya saya dalam bentuk lukisan.

"Semoga apa yang saya rasa dapat dirasai bersama orang ramai supaya kita dapat menghargai dan memelihara keindahan alam yang dikurniakan Allah,'' katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.