Saturday 26 November 2011

Kem pengakap bertaraf dunia

KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Kerajaan negeri bersedia menaik taraf Kem Pengakap Telaga Batin yang kini dikenali sebagai Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail dengan pelbagai kemudahan bagi membolehkan ia digunakan untuk penganjuran bertaraf dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sejumlah RM10 juta diperuntukkan kerajaan negeri sebelum ini bagi membina kem berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan aktiviti pengakap dari semasa ke semasa. "Kem telah memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 65 bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan. Maka, tidak mustahil pengakap dari Jepun melahirkan keinginan untuk melakukan aktiviti perkhemahan mereka di sini tidak lama lagi.

"Dengan adanya kemudahan bertaraf dunia, saya berharap dan mengalu-alukan pengakap seluruh dunia untuk mengadakan perkhemahan mereka di kem ini sekali gus mempromosikan negara dan negeri Terengganu di mata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara penutup Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu di sini semalam. Turut hadir Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Datuk Khairuddin Mukmin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Jambori yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyaksikan 21 negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta antaranya dari Bangladesh, Maldives, New Zealand, Indonesia, Brunei, Mesir, Thailand, Filipina dan Myanmar.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, bagi memudahkan penyelenggaraan kem dilaksanakan, kerajaan negeri bercadang menyerahkan kem itu kepada Majlis Pengakap Negeri Terengganu tidak lama lagi. Jelas Ahmad, penyerahan kem tersebut juga bagi memudahkan kemudahan-kemudahan lain disediakan di kem berkenaan.

"Mereka lebih tahu apa yang sepatutnya disediakan dalam sesebuah kem pengakap, jadi tanggungjawab untuk menguruskan kem ini kita beri kepada majlis dan saya berharap ia akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan penganjuran pelbagai aktiviti," jelasnya.

Sementara itu, pada majlis makan malam sempena program berkenaan di Seri Iman kelmarin, kerajaan negeri menerima tajaan daripada syarikat pengedar kenderaan mewah BMW, Quil Automobiles Sdn. Bhd. yang menaja 60 kereta BMW serta wang tunai RM50,000 untuk jambori itu. Sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn. Bhd., pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood menyumbangkan peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.