Thursday 6 October 2011

Sajian Monsun di Sumai Suite Hotel hingga hujung tahun


Pihak pengurusan dan para chef Sumai Suite Hotel menunjukkan Sajian Monsun yang diperkenalkan oleh hotel berkenaan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 5 Okt. - Menyambut ketibaan musim tengkujuh, Sumai Suite Hotel di pinggir pantai Batu Buruk di sini mempromosikan Sajian Monsun sehingga hujung tahun ini sebagai tarikan kepada pelanggan.

Hasil kreativiti chef, sajian di hotel bertaraf tiga bintang itu mengangkat makanan tempatan dan tradisional dengan diberi cita rasa baharu yang mengetengahkan keenakan tersendiri. Harganya pula amat berpatutan seperti di kebanyakan restoran yang ternyata cukup berbaloi bagi pengunjung yang singgah menjamu selera bersama keluarga dan rakan atau yang bermalam di situ.

Sajian yang juga disediakan sempena dengan musim kejohanan perahu layar dunia, Piala Monsun yang bakal bermula tidak lama lagi termasuk nasi ayam persinggahan, dilengkapi sup cendawan dan jus roselle. Eksekutif Jualan Kanan Sumai, Zubir Yatim memberitahu, sajian oleh Chef Engku Mohd. Adad Engku Ismail dan Chef Masri Paya serta Chef Sobri Johari bermula dengan harga RM10.

"Sajian pelengkap seperti cecambah hainan (RM5), salad buah dan ayam (RM5) dan potongan buah-buahan (RM5) turut disediakan," ujarnya sewaktu mengadakan promosi sajian berkenaan baru-baru ini. Di samping itu katanya, pelanggan boleh memesan ayam goreng bersalut serbuk roti dengan isian bayam dan cendawan kisar berharga RM12. Untuk pencuci mulut, pengunjung boleh menikmati tapai pindang (RM8) dengan limpahan krim susu dan tepung ubi atau pisang kukus goreng yang dinikmati bersama aiskrim (RM5) atau aiskrim beralaskan bepang (RM5).

"Di sini selain merasai suasana bilik hotel yang selesa, anda boleh nikmati juadah dalam suasana santai di restoran atau di ruang terbuka sambil menikmati elusan angin pantai," ujarnya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.