Saturday 15 October 2011

Lokasi pelancongan dinaik taraf


Hamidah Osman bersama Zahir Khalid mendukung anak singa Afrika ketika melawat Zoo Taiping, kelmarin.

TAIPING 14 Okt. - Kerajaan negeri sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf beberapa destinasi pelancongan bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong dalam dan luar negara menjelang kempen Tahun Melawat Perak tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, usaha penambahbaikan destinasi pelancongan terbabit juga merupakan antara strategi bagi memberi nafas baharu dalam industri tersebut di negeri ini. ''Saya melihat negeri Perak mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang berpotensi dikembangkan secara terancang untuk dijadikan tarikan baru pelancong dalam dan luar negara.

"Setakat ini, beberapa kawasan pelancongan sudah dikenal pasti untuk dinaik taraf bagi menyediakan suasana yang kondusif bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan galeri pelancongan dan kerja-kerja menaiktaraf Zoo di sini semalam. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Zahir Khalid.

Pembinaan galeri dan menaik taraf zoo berkenaan menelan kos RM3.8 juta merupakan inisiatif terbaru kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat informasi pelancongan terbaharu di negeri ini. Hamidah memberitahu, antara kawasan lokasi pelancongan lain yang akan dinaik taraf adalah Dataran Stesen Kereta Api, Hutan Lipur Lata Kijang, Kellie's Castle dan Pesisiran Sayong Kuala Kangsar.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menaik taraf lokasi terbabit akan dilakukan secara sistematik bagi memastikan ia masih boleh dilawati pengunjung walaupun pengubahsuaian sedang dijalankan. ''Kita mahu pastikan perancangan tersusun dibuat bagi memastikan sebarang kerja-kerja naik taraf ini tidak mengganggu aktiviti pelancongan di lokasi berkenaan," jelasnya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.