Friday 23 September 2011

Universiti, hotel hijau di Putrajaya

PUTRAJAYA 22 Sept. - Kehadiran sebuah universiti dan hotel baru menjelang 2014 akan menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini lebih bertenaga. Kedua-dua mercu tanda baru tersebut akan dibangunkan sebagai bangunan hijau selari dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH), Datuk Azlan Abdul Karim (gambar) berkata, dua projek terbaru itu selari dengan perubahan fokus pembangunan di sini daripada pembinaan bangunan pejabat kerajaan kepada pembangunan kawasan komersial. "Sebuah universiti yang mempunyai reputasi dari United Kingdom bersetuju untuk membuka kampus di sini dan perjanjian mengenainya akan dimuktamadkan pada tahun ini juga. "Universiti ini dijangka mula beroperasi menjelang September 2014 melalui pengambilan kumpulan pertama pelajar sebanyak 3,500 orang.

"Kehadiran kumpulan pelajar termasuk dari luar negara ini akan menjadikan Putrajaya lebih bertenaga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pertandingan Seni Bina anjuran PjH dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial PjH yang bertujuan mencungkil bakat mahasiswa seni bina.

Sementara itu, Azlan berkata, sebuah hotel perniagaan bertaraf tiga bintang akan dibuka bersebelahan pusat beli-belah Alamanda di sini. "Hotel ini sedang dibina, ia dijangka siap pada September 2012 dan mula beroperasi pada suku pertama 2013," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PjH menyiapkan kira-kira 80 peratus hingga 90 peratus bangunan kerajaan manakala bakinya akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. "Kita mula beralih fokus kepada pembangunan kawasan komersial dan ini termasuk pembinaan pejabat-pejabat swasta. "Putrajaya merupakan tempat strategik untuk membuka pejabat kerana lokasinya yang berhampiran dengan pejabat kerajaan dan bebas kesesakan lalu lintas," katanya.

-Utusan Online.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.