Friday 30 September 2011

Pulau Lebah di Tasik Kenyir


KEINDAHAN alam semulajadi di Tasik Kenyir, menjadikan tasik berkenaan satu destinasi pelancongan yang sangat menarik dan mempesonakan untuk dilawati.

KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Kerajaan negeri akan membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai Pulau Lebah dalam usaha merangsang perkembangan industri madu lebah negara. Kewujudan pulau tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pulau khusus untuk lebah dan bakal menjadi salah satu tarikan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata, buat permulaan, sejumlah RM1.6 juta diperuntukkan kerajaan negeri manakala pulau yang sesuai sedang dikenal pasti. Menurutnya, pulau madu lebah itu lebih menumpukan kepada kerja penyelidikan selain menyediakan pelbagai maklumat mengenai madu lebah untuk pengetahuan orang ramai dan pemasaran produk.

"Ia juga akan menempatkan pusat interpretasi lebah yang mengandungi pelbagai maklumat yang bukan saja untuk peminat dan pengusaha madu lebah malah, pelancong. "Kita sedang kenal pasti pulau yang sesuai untuk dibangunkan dan kita juga akan pilih pulau yang mempunyai pokok tualang yang mampu menghasilkan madu lebah tualang bermutu tinggi," katanya.

Ashaari menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lebah Peringkat Kebangsaan dan ApiExpo 2011 di Permai Hotel di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Lebah Asia, Datuk Prof. Dr. Makhdir Mardan. Seramai 100 orang peserta dari kalangan pengusaha serta penyelidik dari seluruh negeri menyertai seminar dua hari itu. Beliau berkata, dengan adanya pulau sedemikian, ia turut membantu pencari dan pengusaha madu lebah dalam aspek keselamatan, kawalan mutu dan sebagainya.

Selain itu, Ashaari berkata, Malaysia buat julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah Seminar Lebah Asia yang bakal diadakan di Terengganu pada penghujung September tahun depan. "Seminar seumpama itu diadakan dua tahun sekali dan tahun depan, Malaysia buat pertama kalinya akan jadi tuan rumah yang akan diadakan di Terengganu," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.