Sunday 4 September 2011

Indahnya matahari terbenam


BILIK Deluxe yang selesa dengan balkoni menghadap pantai.

Sesiapa sahaja pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keenakan laksa atau makanan laut jika berkesempatan mengunjungi Kuala Perlis, sebuah kawasan pinggir pantai di negeri Perlis. Keenakan laksa Kuala Perlis dan makanan laut, selain keindahan kawasan pinggir pantainya yang mendamaikan mungkin mendorong pengunjung meluangkan masa beberapa hari di Kuala Perlis.

Tentang penginapan, usah risau kerana Hotel Putra Brasmana di Kuala Perlis menjanjikan penginapan sesuai dengan cita rasa pengunjung. Tidak hairanlah hotel berkenaan sentiasa menjadi tarikan pengunjung. Ini kerana selain menawarkan penginapan selesa, ia terletak di kawasan strategik. Ia terletak di hadapan medan selera yang cukup popular dengan makanan laut dan jeti untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi.

Menurut Pengurus Hotel Putra Brasmana Kuala Perlis, Abdul Wahab Hassan, hotel tersebut menawarkan 100 buah bilik yang terdiri daripada standard (menghadap bandar), standard (menghadap laut), deluxe (menghadap bandar), famili, king deluxe (mengadap bandar) dan king deluxe (mengadap laut). Katanya, sepanjang bulan Ramadan lalu, hotel berkenaan membuat promosi tertentu termasuk kesemua bilik standard ditawarkan pada harga murah iaitu RM68.

Abdul Wahab berkata, lain-lain kemudahan yang terdapat di hotel tersebut ialah empat buah dewan dan dua buah bilik mesyuarat, selain sebuah lagi dewan terletak di atas laut iaitu Ocean Glow. “Bagi kemudahan pelanggan menjamu selera, Samudera Cofee House menyediakan juadah Melayu, Cina, Thai dan makanan barat dengan harga berpatutan dalam lingkungan RM15++ yang dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 11 malam.

“Jika pelanggan mahu bersantai sambil mendengar alunan lagu, terdapat Samudera Bistro yang dibuka dari pukul 6 petang hingga 12 malam,” katanya. Untuk keselesaan pelanggan, katanya, perkhidmatan bilik ke bilik disediakan selama 24 jam untuk pelanggan menempah makanan di hotel tersebut.

Ternyata hotel milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan berdasarkan keistimewaan yang terdapat di situ. “Terdapat sesetengah pelanggan menginap di sini dengan mengambil bilik menghadap laut semata-mata untuk melihat matahari terbenam kerana ia merupakan pemandangan cukup indah,” ujarnya.

Selain itu, kedudukannya yang strategik menjadi pilihan atau persinggahan pengunjung sama ada yang pergi atau balik dari Pulau Langkawi. “Ada yang menempah feri pagi dan kerana tidak mahu terlewat tiba di jeti, mereka bermalam di hotel ini. Malah ada juga yang balik dari pulau berkenaan mahu berehat semalaman di sini. “Begitu juga dengan penggemar makanan laut, mereka bermalam di hotel ini untuk menjamu selera di medan selera yang berhampiran,” katanya.

Di hotel tersebut juga disediakan perkhidmatan tukang urut tradisional lelaki dan wanita dengan harga cukup rendah iaitu RM30 sejam dan bagi mereka yang ingin menaiki kereta kuda mengelilingi bandar, hanya dikenakan bayaran RM5 seorang. Inilah keistimewaan Hotel Putra Brasmana yang sentiasa memastikan keselesaan pelanggan termasuk membuat pelbagai promosi dan memperkenalkan aktiviti tertentu supaya ia sentiasa diingati.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.