Tuesday 30 August 2011

Berhati-hati dengan dakyah pengaruhi umat Islam – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) hari ini bertitah supaya seluruh umat Islam terutama di Selangor sentiasa berhati-hati dan jangan terpedaya dengan dakyah-dakyah tertentu yang mempengaruhi umat Islam.

Baginda bertitah, ia terutama yang mengandungi unsur-unsur keraguan dan yang boleh memesongkan akidah umat Islam. “Ini adalah penting kerana Beta dapati gejala murtad dalam kalangan umat Islam telah mula tersebar di negara ini dan Beta khuatir perkara ini akan merebak dan sukar dibendung.

“Beta ingin mengingatkan bahawa seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu yang dengan sengaja keluar daripada agama Islam akan hilang segala hak keistimewaannya kerana terkeluar daripada definisi dan identiti sebagai orang Melayu. “Bukan itu sahaja, malah mereka akan tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi dan hina di sisi Allah SWT,” titah baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Baginda turut mengingatkan bahawa pada zaman yang serba mencabar dan keadaan yang tidak menentu ini rakyat haruslah berjimat cermat dan berbelanja dengan berhemah kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada sikap itu.

Sempena dengan sambutan hari mulia ini juga, Sultan Selangor berharap supaya rakyat negeri itu mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim antara kaum. “Di sini Beta menyeru kepada umat Islam di Selangor supaya dapat bersatu padu dan mempertahankan kesucian agama Islam seperti yang diletakkan pada martabat yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.