Sunday 17 July 2011

Lima teras utama tarik pelancong - Yen Yen

MELAKA 16 Julai - Lima teras utama perlu diberi penekanan bagi mengukuhkan imej dan menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen. Menurutnya, teras itu ialah menitikberatkan keseronokan keluarga, membeli-belah, acara pelancongan, eko-pelancongan dan pelancongan perniagaan. Kementerian kata beliau, akan memberi tumpuan membantu mempromosikan sesuatu produk bagi dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan dunia jika mempunyai lima teras tersebut.

"Tanpa lima teras yang digariskan oleh kementerian, adalah sukar untuk sesuatu produk itu boleh diketengahkan bagi menarik lebih ramai pelancong asing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Melaka-UNESCO World Heritage Music Festival 2011 di Jonker Walk, Banda Hilir di sini malam tadi. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latif Tamby Chik.

Melaka-UNESCO World Heritage Music Festival 2011 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ketiga Melaka diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO. Festival selama dua hari yang berakhir esok itu menampilkan pelbagai genre muzik daripada tujuh kumpulan kugiran tempatan yang membuat persembahan di pentas utama Jonker Walk. Menurut Yen Yen, kualiti sesuatu produk itu membolehkan ejen-ejen pelancongan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke setiap pelosok dunia.

Mengulas mengenai penganjuran Melaka-UNESCO World Heritage Music Festival 2011 beliau berkata, festival tersebut wajar diberi nafas baru dengan tumpuan kepada penampilan lebih banyak muzik tradisional. Beliau berkata, penampilan festival muzik tradisional dilihat berpotensi besar untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. "Jika Sarawak berbangga dengan Festival Muzik Rainforest, Melaka pula sebagai bandar raya warisan dunia wajar mengetengahkan seni muzik tradisional seperti dondang sayang," katanya. Tambah beliau, selain memperbanyakkan muzik tradisional, festival itu juga perlu menarik penyertaan negara-negara luar seperti Indonesia, Jepun dan Korea.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.