Sunday 31 July 2011

Kek Hotel Abadi gamit pengunjung

Bagi sesebuah hotel tarikan utama yang menggamit kedatangan pengunjung adalah keselesaan bilik, fasiliti, landskap, spa dan kemudahan lain yang ditawarkan. Ciri-ciri itu menjadi kebanggaan yang mencuri hati pengunjung menginap untuk satu tempoh yang panjang. Bagi Hotel Abadi di tengah-tengah bandar raya Melaka iaitu di Jalan Melaka Raya 6, Banda Hilir, keunikannya adalah kek yang disajikan kepada pengunjung. Ini kerana, kek-kek yang disediakan bukan dibeli dari kedai kek sebaliknya ia dibuat sendiri oleh chef hotel itu.

Kek-kek yang dihasilkan menjadi pilihan dalam majlis-majlis resepsi perkahwinan, ulang tahun hari lahir, seminar dan sebagainya yang ingin diadakan di hotel tersebut. Ia boleh didapati di Indah Gelataria di lobi utama hotel itu. Pelbagai jenis kek disajikan antaranya kek marmar keju (marble cheese), pai epal, coklat basah, kek durian, kek lobak, baulu dan sebagainya. Kek adalah sumber inspirasi menjadi kebanggaan Hotel Abadi yang dimiliki sepenuhnya usahawan bumiputera.

Lokasinya strategik tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong seperti Dataran Pahlawan, Jonker Walk, Menara Taming Sari, kota A'Famosa dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Hotel Abadi yang dibuka pada 25 Disember 2010 menawarkan bilik selesa dengan katil besar dan mengikut kemampuan pelanggan. Penginapan ditawarkan kepada lima kategori iaitu standard dengan kadar harga RM130++ semalam, superior (RM150++), deluxe (RM180++), studio suite (RM300++) dan junior suite (RM350++).

Pengurus Sumber Manusia Hotel Abadi, Mohd. Azmir Md. Ali berkata, tiga restoran yang menawarkan pilihan masakan Melayu, Cina dan Barat iaitu D Oriental Chinese Cuisine, Indah Gelataria dan Rindu Bistro & Lounge. "Kesemua masakan itu disediakan oleh chef berpengalaman luas dengan menitikberatkan keenakan dan memilih hidangan yang segar serta berkhasiat untuk setiap hidangan," katanya.

Bagi mereka yang ingin mengadakan seminar atau kursus kata Mohd. Azmir, enam bilik disediakan. Katanya, bilik Kasih 1 hingga 3 mampu memuatkan antara 250 hingga 300 orang manakala Kasih 4 hingga 6 pula memuatkan 120 hingga 150 orang pada satu-satu masa. Dalam pada itu, sepanjang Ramadan, bufet berbuka puasa ditawarkan ialah RM42++ bagi dewasa dan RM24++ untuk kanak-kanak dan warga emas.

-Utusan Online.

www.hotelabadi.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.