Sunday 12 June 2011

Masakan Perlis dipromosi di Jepun




OSAKA 12 Jun — Keenakan masakan Perlis dipromosikan di Jepun dengan sebuah restoran milik rakyat Malaysia yang terletak di Osaka dipilih sebagai lokasi promosi itu. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan promosi itu di restoran Al Famosa yang diusahakan oleh Alton Chan, 44, yang berasal dari Pulau Pinang, malam tadi.




Walaupun hanya lima jenis masakan yang disenaraikan untuk dilancarkan namun Alton yang telah 11 tahun mengusahakan restoran itu telah menyediakan sembilan jenis masakan Malaysia. Raja Muda berharap promosi itu akan turut membantu mengetengahkan Perlis kepada masyarakat Jepun. Sempena pelancaran itu, baginda turut menyerahkan risalah pelancongan Perlis untuk diedarkan oleh restoran Al Famosa kepada para tetamu yang terdiri daripada rakyat Jepun.




Sementara itu, Alton yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Jepun, bahasa Inggeris, Kantonis dan Hokkien berkata, beliau akan memanfaatkan promosi itu untuk memikat lebih banyak pelanggan ke restorannya. Walaupun promosi itu hanya untuk dua minggu tetapi beliau bercadang untuk mengekalkan menu masakan Perlis di restorannya. Lima menu utama yang disenaraikan sepanjang promosi itu ialah nasi kandar Perlis, bihun goreng Kangar, kari ayam Arau, roti jala A”la Kuala Perlis dan sate ayam Ku Puan.




Bagaimanapun, sempena pelancaran promosi itu, beliau telah menambah empat menu lagi termasuk kangkung belacan, tomyam, nasi goreng telur masin dan ikan goreng bersambal. Katanya, walaupun peluang perniagaan wujud di Malaysia termasuk di tempat kelahirannya di Tanjong Tokong, Pulau Pinang namun kini beliau bertapak kukuh di Osaka.




- Bernama


Gambar arkib: Pelancongan Kini

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.