Friday 1 April 2011

Program bermalam di muzium diperluas

MELAKA 31 Mac - Program Bermalam di Muzium Samudera atau 'Sleepover@ the Museum' yang terus mendapat sambutan sejak diperkenalkan Februari tahun lalu akan diperluaskan ke beberapa buah muzium milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) tidak lama lagi. Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas berkata, ekoran sambutan amat menggalakkan itu, pihaknya memilih Muzium Pulau Besar di Pulau Besar dan Muzium Istana Kesultanan Melaka untuk mengadakan program 'Sleepover@ the Museum'.

"Sejak program yang pertama di negara ini diperkenalkan di Muzium Samudera Februari tahun lalu, kami menerima banyak tempahan dari dalam dan luar negara melibatkan para pelajar dan juga syarikat-syarikat swasta. "Sebab itu, kita merancang memperluaskan program ini ke Muzium Pulau Besar dan Muzium Istana Kesultanan Melaka tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tambahnya, pihaknya akan memasukkan pelbagai program menarik untuk melawat tempat-tempat sejarah di Pulau Besar di dalam program bermalam di muzium itu.

Menurut beliau, program tersebut juga memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman bermalam di muzium yang mana Melaka merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menawarkan peluang itu. Sebarang pertanyaan mengenai program 'Sleepover@ the Museum', orang ramai boleh menghubungi Nurman Mohd. Baroldin dari Unit Promosi Perzim di talian 06-2826526 atau 06-2814226.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.