Tuesday 15 March 2011

RM800,000 naik taraf perkhidmatan bot Sungai Rambai River Cruise

MELAKA 14 Mac – Perkhidmatan bot Sungai Rambai River Cruise yang menjadi nadi tarikan pelancong ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan berubah wajah menerusi peruntukan RM800,000 daripada Kementerian Pelancongan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) itu bagi tempoh dua tahun akan digunakan untuk menaik taraf beberapa kemudahan dan laluan Sungai Rambai River Cruise.

Menurutnya, antara cadangan untuk menambah tarikan perkhidmatan itu adalah membesarkan kemudahan jeti menaiki bot tersebut, membangunkan kemudahan Kampung Nelayan Pengkalan Lambak dan pembelian dua bot tambahan untuk dinaiki pengunjung. “Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan kerana memberikan peruntukan RM800,000 bagi menaik taraf Sungai Rambai River Cruise. “Menerusi peruntukan dan idea-idea yang diberikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen ketika menaiki bot ini, saya yakin Sungai Rambai River Cruise akan terus mendapat sambutan pelancong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise dilancarkan Jun lalu dan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Keunikan menaiki perkhidmatan itu menyusuri Sungai Kesang dari jeti di Laman Belia 1Malaysia hingga ke muaranya sejauh 7 kilometer akan memberi pengalaman bermakna kepada pelancong. Antara pengalaman menarik di sepanjang laluan tersebut adalah menikmati panorama pemandangan hutan paya bakau, flora dan fauna, pelbagai spesies burung, gelagat kera dan lotong.

Mengulas lanjut Hasan berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk menaik taraf jeti nelayan Kampung Pengkalan Lambak yang terletak di laluan Sungai Kesang. “Yen Yen mahu jeti kampung ini dinaik taraf dengan beberapa kemudahan selain beliau meminta industri pembinaan bot diusahakan oleh nelayan di situ,” katanya. Selain itu, katanya, pihak kementerian akan turut memasukkan Sungai Rambai River Cruise dalam kalendar pelancongan 2011 dan mempromosikannya hingga ke luar negara. Beliau memberitahu, seramai 1,348 pelancong telah menaiki perkhidmatan itu sepanjang tempoh Jun tahun lalu hingga Februari lalu.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.