Sunday 6 March 2011

Projek teksi air diteruskan

TASEK GELUGOR 5 Mac – Cadangan pelaksanaan projek perkhidmatan teksi air yang bakal menjadi antara nadi utama sektor pelancongan di Pulau Pinang akan diteruskan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk membatalkan projek berkenaan yang kini dalam peringkat perincian oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). “Pada dasarnya kajian awal oleh NCIA pada peringkat ini menunjukkan perkhidmatan teksi air boleh memberi impak yang baik bukan sahaja dari segi pengangkutan tetapi juga sektor pelancongan. “Jadi kita akan teruskan, lainlah kalau laporan mengatakan ia tidak sesuai. Setakat ini saya dimaklumkan projek ini akan diteruskan,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan rancangan penyediaan perkhidmatan teksi air Pulau Pinang yang dicetuskan pada 2009 selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadi negeri ini sebagai hab logistik. Berdasarkan penyelidikan fasa pertama yang dijalankan sebelum ini, pengangkutan itu dijangka meliputi lokasi tertentu seperti di Tanjung Bungah, Teluk Bahang, Georgetown, Pulau Jerejak serta Batu Maung. Di kawasan perairan tanah besar pula, perkhidmatan itu dijangka meliputi kawasan Bagan Ajam, Butterworth dan Batu Kawan.

Bagaimanapun, perkhidmatan teksi air turut menimbulkan isu mengenai kemungkinan ia akan menjejaskan peranan feri sebagai pengangkutan alternatif terpenting di Pulau Pinang. Nor Mohamed berkata, usaha mewujudkan perkhidmatan teksi air bukan sahaja akan menjadi alternatif dalam sektor pengangkutan awam tetapi juga mampu meningkatkan imej pelancongan negeri. Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Pulau Pinang walaupun ia bukan di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tidak timbul isu kita hendak pinggirkan Pulau Pinang, kalau kita pinggirkan sesuatu tempat hanya kerana mereka tidak undi kita, maka sampai bila negara hendak maju? “Dari segi moral, rakyat Pulau Pinang berhak menikmati pembangunan. Dari sudut ekonomi pula, kita perlu menjana ekonomi semua negeri kerana hanya dengan cara itu kita boleh pastikan ekonomi negara secara keseluruhan dapat terus berkembang,” jelasnya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.