Saturday 5 March 2011

Peneroka jadi duta kecil negara



DUA pelancong Jepun cuba mencanting kain sebagai tanda kehadiran mereka ke Inap Desa Felda Jengka 25 di Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 4 Mac - Tanah Rancangan Felda Jengka 25 di sini merupakan satu kawasan penempatan peneroka yang bergantung kepada hasil sawit bagi menampung keperluan kehidupan seharian.

Kini masyarakat di situ boleh berbangga kerana wujudnya program inap desa, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada mereka.

Dikenali sebagai Program Inap Desa Felda Jengka 25, pelbagai kemudahan dan pakej pelancongan menarik disediakan kepada pelancong tempatan dan asing.

Tanah rancangan itu yang terletak dalam gugusan Jengka Segi Tiga begitu dikenali oleh pelancong khususnya dari luar negara.

Kawasan itu boleh dihubungi melalui jalan raya utama sejauh 20 kilometer (km) dari Bandar Jengka, 45km dari Temerloh dan 180 km dari Kuantan.

Inap Desa Jengka 25 yang mula beroperasi pada 2004 menawarkan pelbagai pakej pelancongan seperti kebudayaan, kehidupan masyarakat peneroka dan agropelancongan. Kedudukannya yang hampir dengan Pusat Rekreasi Gunung Senyum menjadikan tanah rancangan itu lebih popular bagi pelancong asing untuk menerokai tujuh gua misteri di situ.

Penyelaras Inap Desa Felda Jengka 25, Mohd. Tamrin Zakaria berkata, tanah rancangan itu dibangunkan pada 1978 dengan tanaman kelapa sawit seluas 629.45 hektar dan 67.72 hektar pula untuk dijadikan sebagai perkampungan peneroka yang kini dihuni 1,450 orang. "Felda Jengka 25 juga berdekatan dengan lokasi pelancongan bertaraf dunia seperti Gua Kota Gelanggi, Taman Negara, Jerantut, Pusat Penyelidikan Pertanian Sungai Tekam (PPPTR) dan Sungai Pahang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Beliau berkata, aktiviti yang dijalankan ialah merasai kehidupan sebenar masyarakat peneroka tentang kegiatan memetik kelapa sawit, menyusuri Sungai Pahang, memancing ikan, membuat kuih tradisional dan majlis perkahwinan.


PEGAWAI dan kakitangan Felda melihat tapak semaian benih kelapa sawit menggunakan teknologi baru yang menjadi tarikan pelancong ke Felda Jengka 25 di Kuala Krau, baru-baru ini.


Jelasnya, produk pelancongan lain ialah aktiviti kembara jelajah 18 gua termasuk Jebak Puyuh yang terdapat di Gunung Senyum.

"Kita juga mempamerkan kebudayaan dan adat resam orang Melayu kepada pelancong asing yang datang ke situ seperti Silat Gayung Pattani, adat perkahwinan masyarakat Melayu dan aktiviti keagamaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Tamrin berkata, cadangan mewujudkan program inap desa dibuat berikutan terdapat banyak potensi yang boleh dilakukan sebagai salah satu produk pelancongan di tanah rancangan itu.

Menurutnya, potensi produk pelancongan di situ mendorong penduduk bersetuju menjalankan program itu sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

"Inap desa Jengka 25 menawarkan pakej percutian menarik yang mana pelancong akan tinggal dengan keluarga angkat masing-masing bagi mengetahui kehidupan peneroka," katanya.

Katanya, kewujudan program itu turut mendapat sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat Felda dan pengurusan Felda Wilayah Jengka. Selain itu, katanya, kerjasama kerajaan negeri, Majlis Tindakan Pelancongan Pahang, Persatuan Inap Desa Pahang, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut mengangkat Jengka 25 sebagai destinasi pelancongan baru di negeri itu. Tambahnya, antara pelancong asing yang melawat tanah rancangan itu adalah dari Jepun, China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia, Pakistan dan Afrika Selatan.

Menurutnya, bagi memantapkan program tersebut, pengusaha terbabit perlu mengikuti kursus yang dianjurkan seperti protokol menyambut tetamu, bahasa, budaya dan personaliti. Katanya, tanah rancangan itu turut menandatangani perjanjian persefahaman dengan dua ejen pelancongan dari Korea Selatan pada tahun lalu sebagai usaha mempromosikan kawasan itu kepada masyarakat di negara tersebut.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.