Saturday 12 March 2011

Menyusuri Sungai Sarawak



BOT Lan Berambeh River Cruise sepanjang kira-kira 22 meter berlabuh di Jeti Sungai Bedil menanti penumpang di Kuching, baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUCHING 11 Mac – Sejak kebelakangan ini, kelibat bot persiaran dengan kombinasi warna kuning, hitam dan merah yang megah menyusuri Sungai Sarawak kerap mencuri tumpuan ramai, khususnya pengunjung yang sedang bersantai di tebing Waterfront. Lan Berambeh River Cruise (LBRC). Itulah nama yang tertera pada bot sepanjang kira-kira 22 meter yang dimiliki Koperasi Lan Berambeh Sungai Bedilku Kuching Berhad itu.

Bagi orang luar, kali pertama mendengar nama Lan Berambeh mungkin agak janggal apatah lagi penulis sendiri yang baru beberapa bulan menetap di bandar raya ini. Bagaimanapun, di tempat kelahirannya di Kampung Sungai Bedil Besar, Lan Berambeh bukanlah sesuatu yang asing, malah, begitu istimewa kerana menjadi mercu tanda kemegahan penduduk yang hampir 100 peratus Melayu. Pengerusi Koperasi Lan Berambeh Sungai Bedilku Kuching Berhad, Zamahari Saidi memberitahu, bot persiaran berkenaan diberi nama ‘Lan Berambeh’ sempena satu program tahunan yang diadakan setiap tahun di kampung itu.

Jelasnya, ‘lan’ bermaksud mari, ayuh atau jom’ manakala ‘berambeh’ pula bermaksud melawat, mengunjungi atau bersantai di sesuatu lokasi. “Lan Berambeh sebenarnya nama program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Bedil Besar yang dianjurkan sejak turun-temurun di sini. “Setiap kali program ini berlangsung, para pelancong akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan pelbagai aktiviti tradisi seperti persembahan budaya di samping menikmati masakan Melayu yang disediakan penduduk kampung,” katanya.

Menyahut seruan Datuk Bandar Kuching Utara yang mahu penduduk tempatan mencari inisiatif menjana pendapatan sendiri, jelas Zamahari, jawatankuasa tertinggi kampung itu akhirnya sebulat suara menubuhkan sebuah koperasi. Katanya, melalui penubuhan koperasi itu, setiap perancangan dapat dilaksanakan di bawah pengurusan yang lebih sistematik, sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kampung tersebut. “Jadi, pada 29 Mac 2010, Koperasi Lan Berambeh Sungai Bedilku Kuching Berhad didaftarkan dan beroperasi secara rasmi.

“Bot persiaran Lan Berambeh atau LBRC inilah produk pelancongan sulung yang menjadi kebanggaan kami semua,” katanya. Mengenai cabaran getir yang perlu dilalui mereka untuk bersaing dengan bot yang lebih besar dan mewah yang turut menyusuri Sungai Sarawak, Zamahari menjelaskan, LBRC dibangunkan bukan untuk bersaing dengan mana-mana pengusaha bot persiaran. Kehadiran LBRC tambahnya, adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong di samping melengkapkan kekosongan yang ditinggalkan oleh pengusaha bot persiaran mewah berkenaan. “Bot persiaran mewah sedia ada lebih bertumpu kepada pelancong yang bajet besar manakala untuk pelancong yang bajet kecil dan sederhana, belum ada pengusaha yang menawarkan pakej istimewa dengan harga murah dan berpatutan.

“Jadi, kita di LBRC akan mengisi kekosongan itu bagi memastikan setiap pelancong berpeluang menghabiskan masa di tengah-tengah Sungai Sarawak sambil menikmati panorama indah di Kuching, baik pada waktu malam mahupun siang,” katanya. Sementara itu, Pengurus Koperasi dan LBRC, Awang Putra Awang Jaya memberitahu, pihaknya menyediakan dua pakej utama kepada penumpang iaitu pakej bersiar pada harga RM15 seorang dan pakej bersantai dengan harga RM35 seorang. Untuk pakej bersiar katanya, penumpang perlu membuat tempahan sehari sebelum perjalanan manakala pakej bersantai sekurang-kurangnya tiga hari sebelumnya. “Bagi penumpang yang memilih pakej bersantai, kami akan menjamu mereka dengan pelbagai sajian tradisional seperti linut, sayur keladi dan ikan bakar selain makanan lain atas permintaan pelanggan.

“Selain itu, bagi setiap perjalanan, kami memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang penumpang untuk menampung kos operasi,” katanya. Bot persiaran yang dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg pada 27 Februari lalu itu mengambil dan menurunkan penumpang di enam lokasi terpilih di sepanjang Sungai Sarawak. Lokasi tersebut adalah Jeti Sungai Bedil Besar, Pengkalan Sapi, Kampung Boyan, Tebingan Kuching, Kampung Lintang dan Kampung Paroh.

Menerusi LBRC, para penumpang akan dibawa menyusuri Sungai Sarawak selama satu jam setengah bermula di Waterfront, melepasi Jambatan Tun Salahuddin dan berakhir di Kubah Ria sebelum berpatah balik ke Waterfront. Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi pejabat koperasi itu di talian 082-443 748 atau menghubungi Zamahari sendiri di talian 019-367 3774.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.