Saturday 12 March 2011

Dataran Tioman pelengkap keindahan


Melakukan aktiviti snorkling melihat pelbagai jenis ikan memang mengasyikkan di Pulau Tioman.

TIOMAN 11 Mac - Keindahan Pulau Tioman sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkenal rasanya tidak perlu dicanang-canang lagi kerana umum mengetahui keindahan panorama semulajadi di pulau berkenaan. Malah, pulau yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang itu pernah mencatat sejarahnya tersendiri apabila disenaraikan dalam majalah Times pada tahun 1970-an antara 10 pulau tercantik di dunia. Pulau yang sememangnya terkenal di kalangan peminat sukan menyelam itu memiliki keluasan 39 kilometer (km) panjang dan 12 km lebar.

Kedudukannya berhampiran dengan beberapa buah pulau kecil seperti Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Dayang, Pulau Pinang dan Pulau Tulai. Di pulau berkenaan terdapat beberapa kampung seperti Tekek, Paya, Juara, Air Batang, Salang, Mukut, Genting dan Nipah. Hanya Kampung Juara yang menghadap Laut China Selatan manakala perkampungan lain menghadap Semenanjung Malaysia. Faktor itu menjadikan Kampung Juara antara lokasi yang tepat untuk dikunjungi sekiranya anda ke Pulau Tioman.

Ini kerana, keindahan laut di kampung berkenaan cukup berbeza jika dibandingkan dengan kampung lain iaitu cantik dan cukup mempesonakan. Bagaimanapun, bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong ke sana, sebuah dataran dibina dan siap sepenuhnya pada Disember lalu dengan diberi nama Dataran Tioman.

Dataran Tioman yang terletak di Tekek berperanan sebagai mercu tanda pulau berkenaan dengan megah berdiri sebuah replika burung tiung. Bersebelahan replika tersebut dilengkapi sebuah pentas khas dan bilik persalinan bagi memudahkan perjalanan sesuatu acara yang bakal dianjurkan di situ kelak. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd, Johari Hussain, pembinaan mercu tanda Tioman dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Pelancongan bagi menaik taraf kawasan persekitarannya.

"Dataran Tioman mampu memuatkan pengunjung seramai 500 orang dalam satu-satu masa dibina bersebelahan Taman Laut. "Selain itu, persiar kaki sejauh dua kilometer berhampiran taman berkenaan juga dinaik taraf bagi kemudahan pengunjung pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di dataran berkenaan di Tekek di sini baru-baru ini. Menurut beliau, pemilihan burung tiung sebagai replika Dataran Tioman merupakan simbolik di sebalik legenda asal usul nama pulau berkenaan. "Menurut legenda masyarakat dulu-dulu, tioman bermaksud tiung saya. Justeru, pemilihan burung tiung dilihat cukup sinonim dengan masyarakat," jelasnya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.