Sunday 27 February 2011

Peluang perkenal kehidupan desa kepada pelancong

TEMERLOH 25 Feb. - Program inap desa yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan memberi ruang kepada pelancong tempatan dan asing merasai suasana sebenar kehidupan masyarakat kampung khususnya di Pahang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff berkata, pelancong memahami bagaimana masyarakat kampung melalui kehidupan mereka seharian. "Pelancong berpeluang berinteraksi serta menyelami cara hidup seharian keluarga berkenaan dan kebudayaan rakyat Malaysia secara langsung. "Program itu semakin popular dan menjadi pilihan kalangan pelancong Jepun, Korea Selatan, Singapura, Australia, Eropah dan beberapa negara lain," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Shafik, program inap desa peringkat kebangsaan dilancarkan pada 1995 di Kampung Desa Murni, Kerdau di sini yang ketika itu dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabaruddin Chik. Katanya, ia diletakkan di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar dengan matlamat menggalakkan penyertaan masyarakat luar Bandar dalam sektor pelancongan. Beliau berkata, produk pelancongan bukan semata-mata berasaskan pantai, pusat peranginan, perhotelan, percutian tanah tinggi tetapi merangkumi cara hidup harian rakyat yang boleh dijual bagi menarik kehadiran pelancong terutama dari luar negara.

"Kewujudan inap desa bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang terbabit dalam industri pelancongan semata-mata tetapi kesan positif kepada penduduk kampung. "Contohnya, masakan tempoyak ikan patin boleh diperkenalkan di serata dunia melalui pelancong yang pernah menikmati masakan tersebut semasa tinggal dengan keluarga angkat mereka," katanya. Katanya, pengusaha inap desa di Kerdau perlu mengambil peluang populariti Pusat Santuari Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dekat Lanchang di sini untuk menarik lebih ramai pelancong asing tinggal di kampung terbabit.

Sehubungan itu, Shafik mahu lebih ramai rakyat Pahang turut terlibat dengan pelancongan inap desa. Bagi meningkatkan lagi produk tersebut ke luar negara, beliau berkata, kerajaan Pusat mengadakan kursus pelancongan kepada penduduk kampung yang terlibat dalam program itu. Katanya, kursus itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai konsep inap desa serta peluang yang wujud dalam menarik minat masyarakat menceburkan diri program tersebut. "Kursus ini akan melatih peserta mengetahui cara-cara layanan, sambutan, pengendalian dan penyusunan aktiviti kepada pelancong yang tinggal di rumah mereka," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.