Monday 7 February 2011

Dent habitat terumbu karang

LAHAD DATU 6 Feb. – Kawasan dataran lumpur di Semenanjung Dent yang terletak kira-kira 50 kilometer di Timur Laut, Lahad Datu dikenal pasti sebagai habitat terbaru terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut di daerah tersebut. Kewujudan hidupan marin di kawasan tersebut menjadikannya sebagai tarikan ekosistem yang unik dan dikagumi oleh penyelam yang datang dari dalam dan luar negara. Ini kerana, meskipun di bahagian dasar lautnya berlumpur, air pada bahagian permukaannya jernih, sekali gus membolehkan terumbu karang terus membesar dan membiak. Justeru, langkah bagi memastikan terumbu karang dan rumpai laut terus wujud di Semenanjung Dent sangat penting kerana ia merupakan tempat bagi hidupan laut lain seperti ikan, penyu dan udang terus membiak.

Ketua Pegawai Teknikal Program Borneo Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia, Dr. Rahimatsah Amat berkata, dataran lumpur di Semenanjung Dent adalah lokasi penting bagi pembiakan terumbu karang dan rumpai laut di kawasan itu. Beliau berkata, sebahagian spesies terumbu karang yang terdapat di dataran lumpur itu ‘eksklusif’ kerana tidak wujud kawasan lain, ia cuma membiak di dataran lumpur semenanjung berkenaan sahaja. ‘‘Kawasan tersebut unik dan agak istimewa kerana kira-kira 16 peratus batu karangnya tumbuh di atas dasar lautnya yang lembut, tidak seperti tempat-tempat lain yang turut mempunyai terumbu karang.
‘‘Ini menunjukkan dataran ini sangat penting bagi pembiakan terumbu karang dan ia harus dilindungi daripada kemusnahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr. Rahimatsah berkata, selain terumbu karang, kajian pihaknya turut mendapati kewujudan pelbagai jenis udang karang dan ikan di kawasan perairan semulajadi itu yang terletak dalam Segi Tiga Batu Karang dan Eko Wilayah Marin Sulu Sulawesi. Menurut beliau, kawasan semulajadi unik yang terdapat di situ berpotensi dimajukan sebagai eko pelancongan memandang negeri ini dikenali dengan kekayaan alam semulajadinya. Sebelum ini, kawasan dataran lumpur itu dikatakan berdepan risiko pencemaran kerana kedudukannya berhampiran dengan lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan loji janakuasa arang batu berkeupayaan 300 megawatt (MW) di Lahad Datu.

Bagaimanapun, projek pembangunan loji itu dibatalkan selepas mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak di negeri ini. Pembinaan loji tersebut dicadangkan oleh pihak Sabah Elektricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertujuan menambah keupayaan tenaga elektrik di negeri ini terutama di kawasan Pantai Timur Sabah.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.