Saturday 29 January 2011

Operasi tren Bukit Bendera disambung semula akhir Mac

GEORGETOWN 29 Jan. – Perkhidmatan kereta api kabel Bukit Bendera dijangka beroperasi semula dengan menggunakan koc-koc baru buatan Switzerland seawal akhir Mac ini, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen. Katanya, semua kerja menaiktaraf secara fizikal akan siap tidak lama lagi sebelum tempoh ujian operasi kereta api selama sebulan akan dijalankan. "Kami yakin perkhidmatan kereta api itu akan disambung semula seawal akhir Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, perkhidmatan kereta api berkabel berusia 87 tahun itu dihentikan operasinya pada 22 Feb tahun lepas untuk kerja-kerja naik taraf oleh Kementerian Pelancongan dengan kos RM63 juta. Selepas selesai kerja-kerja naik taraf itu, setiap koc baru berhawa dingin itu boleh membawa sehingga 50 penumpang dengan masa perjalanan sehala selama 10 minit. Di bawah sistem baru perkhidmatan, penumpang boleh sampai ke puncak bukit itu tanpa menukar tren di stesen pertengahan.

Yen Yen juga berkata beliau bangga dengan inisiatif oleh ahli botani Datuk Seri Lim Chong Keat untuk membangunkan sebuah taman di puncak Bukit Bendera. "Kami berbincang cara untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai salah satu taman bukit paling indah di rantau ini,” katanya. Menurutnya cadangan bayaran masuk ke taman itu akan terbahagi kepada pemegang MyKad dan orang asing. Bukit Bendera ialah salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di sini dan perkhidmatan kereta api berkabel itu mula diperkenalkan pada tahun 1923, satu-satunya perkhidmatan seumpama itu dalam negara.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.