Monday 31 January 2011

Kerjasama tarik lebih ramai pelancong

KUANTAN 30 Jan. - Kerajaan negeri Pahang sedia bekerjasama dengan pihak yang berkaitan dalam industri pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing datang ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan berkata, penglibatan pihak berkenaan penting bagi memajukan industri pelancongan di negeri ini. "Kerajaan negeri komited dalam memajukan sektor tersebut tetapi dalam masa sama pengusaha serta agensi pelancongan perlu mempunyai inisiatif sendiri bagi merangka strategi meningkatkan jumlah pelancongan ke tempat mereka.

"Apa yang penting adalah mewujudkan aktiviti yang menawarkan penyertaan pelancong secara bersama," katanya ketika berucap pada majlis penutup program Knowing You Knowing Me anjuran Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini baru-baru ini. Seramai 17 wakil agensi pelancongan dan media dari Singapura menghadiri program tiga hari itu bagi berkongsi idea dan pengalaman dalam meningkatkan sektor pelancongan di kedua-dua negara. Shafik berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf beberapa kawasan bersejarah dan destinasi utama dalam usaha menjadikan Pahang destinasi pelancongan utama negara. Tambahnya, ia berikutan kebanyakan pelancong khususnya dari luar negara inginkan suasana tradisional dan alam semula jadi yang tidak diperoleh di negara sendiri.

Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Awam dan Acara BGRC, Nasiruddin Nasrun berkata, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada media dan agensi pelancongan Singapura merasai dan menikmati sendiri pengalaman bercuti di Pahang. "Kita juga mahu menjadikan BGRC sebagai pintu masuk ke Pahang dan mereka boleh mengikuti pelbagai aktiviti di sini selain mengatur perjalanan ke lokasi pelancongan lain seperti Sungai Lembing. "Bagi tujuan itu, kita juga mengharapkan kerjasama kerajaan negeri dalam mendokong misi menjadikan negara ini sebagai lokasi percutian yang sangat menarik untuk seisi keluarga," katanya.
-
Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.