Saturday 15 January 2011

Inap desa palsu boleh jejaskan industri pelancongan

KOTA BHARU 14 Jan. – Industri inap desa di negara ini boleh terjejas ekoran kemunculan banyak inap desa palsu yang turut menawarkan perkhidmatan kepada pelancong, meskipun kualitinya tidak seperti yang diharapkan. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pihaknya turut menerima beberapa aduan daripada pelancong luar negara yang telah membuat tempahan dan bayaran tetapi akhirnya ditipu oleh inap desa palsu tersebut. Katanya, untuk mengatasi masalah itu, kementerian memperkenalkan tanda dagang Homestay Malaysia serta logo yang akan digunapakai oleh setiap inap desa sebagai panduan kepada pelancong untuk membuat tempahan. “Mungkin apa yang boleh kementerian lakukan, semua inap desa yang ada perlu berdaftar dengan kementerian dan akan dijenamakan semula bagi membolehkan pelancong dapat mengenal pasti antara homestay palsu atau berdaftar selepas itu. “Buat masa sekarang tidak ada undang-undang khusus yang boleh kerajaan ambil tindakan terhadap inap desa palsu itu tetapi ia perlu ditangani agar industri pelancongan terus berkembang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Kelantan dan Tourism Malaysia Kelantan di sini hari ini. Yen Yen berkata, inap desa yang sebenar dibina di sebuah kampung yang mempunyai lebih 10 buah rumah dan pemiliknya sentiasa meluangkan masa bersama-sama pelancong yang ada. Dalam pada itu, katanya, industri inap desa di Kelantan semakin pesat berkembang di lapan buah kampung membabitkan 161 pemilik yang menyediakan 194 bilik untuk pelancong.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 1,193 pelancong asing dan 1,808 pelancong domestik telah menginap di inap desa itu dengan pengusahanya berjaya mendapat pulangan hasil sebanyak RM1.17 juta. Menurutnya, Kelantan berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk datang terutama dari Singapura dan untuk itu kementerian telah melancarkan inap desa berkereta api sejak Oktober lalu. “Pusat Penerangan Pelancongan juga telah dikunjungi seramai 2,149 pelancong asing dari Jepun, China, Kanada, Australia, Belgium, Jerman dan United Kingdom dan ini menandakan pelancong mengetahui mengenai produk pelancongan Kelantan,” katanya. Selain itu tambahnya, kementerian juga bercadang mewujudkan kursus pelancongan kepada 45 pengusaha syarikat pelancongan di Kelantan bagi membolehkan mereka memahami dengan sejelas-jelasnya industri pelancongan itu.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.