Sunday 16 January 2011

Hotel bajet penyumbang kerancakan ekonomi negeri

IPOH 15 Jan. - Pembinaan lebih banyak hotel bajet atau hotel murah di bandar raya ini disifatkan mampu menjadi penyumbang kepada kerancakan ekonomi di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pertambahan kehadiran pelancong telah mendorong ramai pengusaha untuk terlibat dalam industri itu. "Ini petanda yang bagus untuk negeri Perak. Kehadiran pelancong yang semakin ramai sejak kebelakangan ini telah menyakinkan pelabur untuk turut sama merancakkan industri perhotelan dengan membina hotel bajet di sini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hotel Putra Iskandar, di sini hari ini.

Hotel milik syarikat Dayatama Hotels and Resort Management Sdn. Bhd. itu mempunyai 39 bilik, dewan bankuasi dan restoran. Zambry berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan daripada pengusaha bagi membina hotel termasuk hotel bajet ekoran permintaan yang tinggi untuk bilik penginapan. Menurutnya, permohonan pengusaha itu akan diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang kelulusan diberikan. "Kita memang memberi galakkan kepada pengusaha untuk terlibat dalam industri ini. Apabila banyak hotel dibina, secara tidak langsung ia akan menarik lebih ramai pelancong ke sini, sekali gus merancakkan ekonomi di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pengusaha ternakan ayam di beberapa buah daerah di bandar raya ini agar lebih menitikberatkan aspek kebersihan. Katanya, kehadiran lalat terlalu banyak yang dikesan berpunca daripada kawasan ternakan ayam dikhuatiri akan menjejaskan industri pelancongan selain mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk sekitar. "Kita beri perhatian serius terhadap masalah ini. Melalui laporan yang diterima, terdapat pengusaha tidak berlesen masih menjalankan perniagaannya," katanya. "Pengusaha seperti ini akan dipanggil untuk berbincang bagi mengatasi masalah ini. Namun sekiranya masih berdegil, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.

-Utusan Online.

1 comment:

  1. sektor yg terbesar di malaysia apa eh ?pelancongan list yg ke brp ?

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.