Sunday 9 January 2011

DBKL lancar peta The Little India @Brickfields



AHMAD Fuad Ismail bersama Ahli Majlis Badan Warisan Malaysia, Ismail Adam (tengah), Michael Yap (kanan) diberi penerangan mengenai Brickfields oleh Vatsala Sivadas (kiri) dan Shweta Rajkumar pada Majlis Pelancaran Little India @ Brickfields Guided Tour di Kelab Sukan DBKL, Kuala Lumpur, semalam. - mingguan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan peta 'The Little India @Brickfields' dan menawarkan lawatan berjalan kaki secara percuma kepada pelancong.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberitahu, DBKL juga akan memperkenalkan beberapa lagi lawatan berjalan kaki percuma untuk pelancong di beberapa kawasan lain.

"Kawasan terlibat adalah Kampung Baru dan Jalan Petaling serta akan menerbitkan lebih banyak peta pelancongan melibatkan kawasan pelancongan di ibu kota," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan peta 'The Little India @Brickfields' dan lawatan berjalan kaki secara percuma untuk pelancong serta meninjau tempat-tempat menarik di Brickfields di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Badan Warisan Malaysia, Datuk Ismail Adam dan Pengarah Eksekutif MRCB, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

Lawatan berjalan kaki secara percuma untuk pelancong hanya beroperasi pada Sabtu minggu pertama dan ketiga bermula di Wisma YMCA, Jalan Tun Sambathan 4 pada pukul 8 pagi yang akan dikendalikan pemandu pelancong berlesen dalam bahasa Inggeris serta mengambil masa selama dua jam setengah. Lawatan itu bagi membolehkan pelancong mengetahui sejarah, komuniti, kebudayaan dan perniagaan di kawasan Brickfields yang baru dibangunkan semula yang mana fasa satu melibatkan peruntukan RM100 juta dan fasa kedua pula sedang dilaksanakan.

Ahmad Fuad memberitahu, DBKL melihat pelancongan merupakan satu daripada mekanisme untuk meningkatkan ekonomi penduduk ibu kota. Katanya, pada tahun ini DBKL akan meningkatkan usaha memberi perkhidmatan dan infrastruktur pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong yang mana dijangkakan lebih 12 juta akan melawat Kuala Lumpur tahun ini.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.