Monday 6 December 2010

Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia catat rekod

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Karnival Pelancongan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan mencatat rekod apabila berjaya mengumpulkan 15,000 peserta yang mempersembahkan senaman pelbagai jenis tarian kebudayaan di negara ini. Ia dimasukkan ke dalam The Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar melibatkan pelbagai golongan. Antara yang terlibat ialah agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi serta peserta luar negara seperti Australia, China, Thailand dan Amerika Syarikat.

Acara unik itu turut disertai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk bersama-sama peserta bersenam sambil menari. Rosmah pada ucapan perasmian sebelum itu berkata, seni tarian harus dilihat sebagai satu elemen yang dapat menyatukan dan memupuk perpaduan serta semangat berpasukan di kalangan rakyat Malaysia. Katanya, ini kerana tarian sering dipersembahkan secara berkumpulan dan memerlukan kerjasama bagi menjadikannya sempurna.

Beliau berkata, ia juga produk penting dalam industri pelancongan di negara ini kerana keunikan dan kepelbagaian tarian tradisional melambangkan adat resam dan budaya sehingga mampu menjadi daya tarikan pelancong. “Melalui tarian juga, ia dapat menyihatkan tubuh badan kita kerana melibatkan pergerakan anggota badan secara menyeluruh malah, merupakan senaman dan terapi yang baik,” katanya. Beliau dalam pada itu turut mengucapkan syabas kepada kementerian terbabit kerana berjaya menganjurkan acara tersebut dan atas inisiatif itu, Malaysia berjaya menonjolkan keunikan dan kepelbagaian warisan bangsa di negara ini sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Terdahulu, Yen Yen dalam ucapannya berkata, karnival itu adalah satu produk pelancongan baru yang diperkenalkan kementeriannya dan berjaya menarik ramai peserta dan pelancong luar negara untuk menyertainya. Katanya, acara yang diadakan pada tahun ini berjaya menarik peserta yang lebih ramai berbanding tahun lalu iaitu kira-kira 12,000 sahaja. Beliau berkata, pada tahun ini, tarian Siam diperkenalkan selain tarian Melayu (zapin), Cina, India, Sewang dan tarian masyarakat dari Sabah dan Sarawak.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.