Saturday 4 December 2010

Rumah terbiar dijadikan inap desa

MELAKA 3 Dis. – Lebih 200 rumah kediaman terbiar di seluruh negeri ini dikenal pasti akan dijadikan projek inap desa bagi usaha meningkatkan industri pelancongan negeri pada masa depan. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri akan menyewa rumah kediaman tersebut daripada pemiliknya sebelum ia diuruskan oleh dua agensi kerajaan negeri bagi dijadikan inap desa. Katanya, setakat ini, kerajaan negeri melantik Perbadanan Hang Tuah Jaya dan Kumpulan Melaka Berhad untuk mengurus dan mentadbir rumah kediaman terbiar yang dikenal pasti di bawah program inap desa terbabit. ‘‘Kita minta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sama-sama membantu kerajaan negeri mengenal pasti mana-mana rumah kediaman yang terbiar dan menyalurkan maklumat tersebut kepada wakil rakyat untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Laksamana Townlodge’ dan melancarkan program Homestay Warisan Melaka di Taman Kota Laksamana Seksyen II di sini hari ini. Menurut Mohd. Ali, konsep rumah kediaman inap desa akan diperluaskan di seluruh negeri termasuk penglibatan pihak swasta melalui peruntukan kewangan yang turut disalurkan oleh kerajaan negeri. Ujarnya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas berjumlah RM200,000 bagi menggerakkan program inap desa dengan yang terbaru diperkenalkan di kawasan Klebang dan Ayer Keroh melibatkan 11 buah rumah kediaman. Sementara itu, mengenai projek ‘Laksamana Townlodge’, kata Ketua Menteri, ia dilaksanakan oleh Kumpulan Melaka Berhad dengan kerjasama anak syarikatnya, Akademi Pelancongan Melaka.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.