Saturday 18 December 2010

Projek Sungai Melaka tidak membazir



ORANG ramai dan pelancong yang berada di dalam bot River Cruise yang menyusuri Sungai Melaka, baru-baru ini.Norizan Abdul Muhid


MELAKA 16 Dis. - Projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka bernilai RM320 juta terbukti memberi keuntungan khususnya dalam merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini dalam tempoh jangka panjang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek tersebut bukan satu pembaziran memandangkan ia telah menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Sungai Melaka.

Menurutnya, berbanding dengan dua lawatan beliau ke sungai tersebut sebelum ini, keadaan Sungai Melaka pada hari ini lebih jauh lebih baik dari segi keindahan keadaan persekitarannya.

"Kejayaan Melaka menarik ramai pelancong menjadikan negeri ini destinasi pilihan nombor satu pelancong untuk bercuti berbanding negeri lain.

"Kalau dulu Pulau Pinang menjadi destinasi nombor satu menjadi kunjungan pelancong tetapi sekarang Melaka telah mengambil alih tempat untuk menjadi negeri pelancongan nombor satu di negara ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki perkhidmatan bot Melaka River Cruise di sini malam tadi. Turut mengiringi beliau ialah Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Projek pengindahan Sungai Melaka melalui empat fasa bermula pada 2002 melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM320 juta. Dalam pada itu, Abdullah turut memuji usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan projek pengindahan Sungai Melaka sehingga ia berjaya menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri itu pada setiap tahun. Pada masa yang sama, beliau turut berharap produk pelancongan negeri dapat dipelbagaikan demi merancakkan lagi industri pelancongan negeri pada masa depan.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.