Friday 3 December 2010

Penutupan Jalan Bagi Acara “Tarian Cuti-Cuti 1 Malaysia”

KUALA LUMPUR, 3 Disember 2010 – Beberapa jalan sekitar Dataran Merdeka akan ditutup selama dua hari berturut-turut sempena dengan penganjuran “Karnival Pelancongan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia” pada 5 Disember 2010 (Ahad). Jalan-jalan berkenaan ialah Jalan Raja, Jalan Gereja, Jalan Leboh Pasar Kecil dan Jalan Leboh Pasar Besar. Penutupan jalan-jalan tersebut akan bermula dari jam 12.00 tengah malam pada 4 Disember 2010 sehingga 12.00 tengahari pada 5 Disember 2010.

“Karnival Pelancongan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia” adalah produk pelancongan yang inovatif dan kreatif anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia dan melibatkan penyertaan orang ramai (atau a participative tourism product). Ia mula diperkenalkan pada tahun 2009 dan telah berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records bagi penglibatan terbesar seramai 12,000 peserta dalam acara pelbagai jenis tarian. Pada tahun ini pula dijangkakan seramai 15,000 orang peserta akan mengambil bahagian.

“Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia” bukanlah suatu persembahan kebudayaan kerana tujuan utamanya ialah untuk menonjolkan kepelbagaian masyarakat Malaysia melalui tarian kepada pelancong, khususnya dari luar negara. Jadi, apabila seseorang pelancong itu menarikan tarian ini, secara tidak langsung ianya akan meninggalkan memori tentang Malaysia dan selepas itu diharapkan dia akan kembali semula melancong ke negara ini. Acara tahunan ini dianjurkan pada hari Ahad pertama bulan Disember setiap tahun. Ia menggabungkan tarian medley ”Malaysia Truly Asia” serta 6 tarian yang lain iaitu Tarian Melayu dengan gerak tari zapin dan joget, Tarian Cina, Tarian India, Tarian masyarakat Sabah iaitu sumazau, Tarian masyarakat Sarawak iaitu datu julud, Tarian Sewang iaitu masyarakat orang kita. Satu lagi tarian baru diperkenalkan pada tahun ini iaitu Tarian Siam.

Kementerian Pelancongan turut bekerjasama dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (atau JKKN) untuk mendapatkan khidmat nasihat serta tunjuk ajar bagi memastikan gerak tari tarian-tarian itu terus kekal keasliannya. Penganjuran ”Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia” yang juga selari dengan konsep 1Malaysia ini merangkumi gerak tari yang ringkas dan mudah dipelajari oleh semua orang tanpa mengira umur, bangsa atau agama. Ia adalah aktiviti riadah yang tidak memerlukan pergerakan yang agresif dan sesiapa pun mampu untuk melakukannya.

Tenaga-tenaga pengajar pula terdiri daripada Persatuan Tarian-tarian Rakyat Malaysia serta kakitangan Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia yang telah bekerja keras melatih orang ramai seluruh Malaysia dalam tempoh dua bulan. Orang ramai yang ingin hadir menyaksikan acara ini pada 5 Disember 2010 (Ahad) digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti Keretapi Aliran Ringan (LRT), komuter dan bas RapidKL.
-
Kementerian Pelancongan, Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.