Thursday 9 December 2010

Pelancongan penyumbang utama KDNK

LANGKAWI 8 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, industri pelancongan diunjurkan akan terus menjadi antara peneraju pertumbuhan bagi sektor perkhidmatan yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang menumpukan kepada sektor perkhidmatan berikutan jangkaan terhadap sektor pembuatan yang mungkin berkembang perlahan pada masa depan berikutan pertumbuhan ekonomi negara maju yang agak lembap. "Sebab itu kita tengok kepada sektor perkhidmatan dan bidang pelancongan menjadi antara yang terpenting. Kerana itu ia dijadikan sebagai salah satu bidang utama dalam 12 sektor penjana ekonomi negara," katanya ketika merasmikan Hotel The Danna di Telaga Habour Park, Pantai Kok di sini malam ini. Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam hubungan ini, Najib berkata, kerajaan akan berusaha untuk mengupayakan sektor swasta agar ia dapat memainkan peranannya dalam menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi menerusi pelaburan seperti perhotelan yang merupakan antara sektor utama dalam industri pelancongan.
Kata beliau, ia bagi membolehkan negara mencapai sasaran pertumbuhan yang ditetapkan.
"Kerajaan akan jadi pemangkin, tetapi yang membantu menggerakkan pertumbuhan bagi ekonomi negara ialah sektor swasta," ujar beliau. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sektor pelancongan mempunyai potensi yang amat besar untuk dibangunkan bagi menjana ekonomi dan bagi membangunkan industri itu, perlu ada produk untuk menarik kedatangan pelancong . Beliau memberikan contoh umat Islam yang terdiri daripada golongan pertengahan berjumlah ratusan juta orang di Cina dan India yang semestinya ingin melancong. "Jadi kita mesti melaksanakan program supaya mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan," katanya.
-
Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.