Thursday 30 December 2010

AirAsia bakal beroperasi di Terminal Satu KKIA tahun depan

KOTA KINABALU 29 Dis. - Kesesakan di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bakal berakhir tahun depan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Terminal Dua tersebut yang digunakan oleh AirAsia Bhd. (AirAsia) ketika ini akan berpindah ke Terminal Satu KKIA di sini bagi mengatasi masalah kesesakan yang seringkali dihadapi oleh penumpang syarikat tambang murah tersebut. Katanya, mengambil kira permintaan daripada syarikat penerbangan tersebut, kementerian bersetuju memindahkan pusat operasi AirAsia ke Terminal Satu KKIA sekali gus dapat memberi kemudahan lebih sempurna kepada penumpang.

Menurutnya, tarikh sebenar bagi perpindahan ke Terminal Satu tersebut bagaimanapun masih belum dapat diputuskan dan ia berkemungkinan dilakukan pada penghujung tahun depan. "Tempoh melaksanakan perpindahan itu masih dalam jangka masa yang ditetapkan dan pihak AirAsia memahaminya. Proses tersebut tidak akan melibatkan masa yang lama atau bertahun-tahun. "Saya menjangkakan ia dapat dilaksanakan pada penghujung tahun depan berdasarkan keseluruhan Terminal Satu akan mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung Januari depan," katanya kepada pemberita di Terminal Satu KKIA di sini hari ini.

Beliau kemudian meninjau kesan kebakaran kecil di Pusat Kawalan Trafik Udara Kota Kinabalu (KKATCC), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan kemajuan projek menaik taraf KKIA. Ahad lalu, kebakaran kecil bilik bateri di KKATCC telah menyebabkan pusat kawalan tersebut terpaksa ditutup selama tiga jam dan mengakibatkan 19 penerbangan dilaporkan terjejas. Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, keupayaan Terminal Satu KKIA untuk beroperasi sepenuhnya pada hujung Januari depan akan membolehkan AirAsia berpindah ke terminal tersebut. Katanya, perpindahan itu juga bertepatan dengan keupayaan terminal tersebut yang menjalani projek menaik taraf dan pembinaan tambahan landasan kapal terbang sedia ada. Menurutnya, jika landasan baru sebanyak tiga laluan di Terminal Satu siap beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mampu menampung sehingga 18 penerbangan dan pendaratan dalam tempoh sejam.
Tambahnya, jika AirAsia telah berpindah ke Terminal Satu, lapangan terbang di Terminal Dua akan digunakan untuk operasi kapal terbang kargo.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.