Tuesday 7 December 2010

10 juta pelancong dijangka lawat Melaka

MELAKA 6 Dis. - Kira-kira 10 juta pelancong dijangka melawat Melaka menjelang akhir bulan ini, menunjukkan peningkatan yang agak ketara berbanding tahun lalu iaitu seramai 8.9 juta orang. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, setakat bulan lalu, seramai 7.8 juta pelancong mengunjungi negeri ini manakala seramai 2.2 juta orang dijangka berkunjung menjelang akhir bulan ini. Menurutnya, bilangan pelancong meningkat lebih ramai terutama menjelang dua bulan terakhir setiap tahun iaitu pada musim cuti persekolahan. "Selain musim cuti sekolah, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat sejak Melaka diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada Julai 2008," katanya di sini hari ini.

Kat beliau, bagi merancakkan sektor pelancongan negeri pada masa depan, operasi penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini mula menerima buat pertama kalinya pesawat Boeing 737-500 oleh Riau Air. Ujarnya, melalui kemudahan baru itu, pesawat tersebut dijangka membawa 120 penumpang. Kata Mohd. Ali, sebelum ini, Riau Air yang mengadakan penerbangan harian destinasi Pekan Baru-Melaka menggunakan pesawat Fokker 50 yang membawa 50 penumpang. "Kita juga akan mengadakan usaha untuk lebih banyak penerbangan khas dari Macau dan China ke Melaka menggunakan kemudahan di LTAM yang telah dinaik taraf," katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa pendekatan baru bagi meningkatkan kemudahan sedia ada di LTAM. Usaha itu, ujarnya, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menyasarkan kedatangan 1.5 juta pelancong melalui LTAM. Ujar beliau, jumlah kedatangan pelancong itu dijangka mampu menjana pendapatan kira-kira RM1 bilion setahun. Menurut beliau, LTAM akan menjadi pintu masuk paling mudah kepada pelancong dalam dan luar negara kerana ia kini mampu menampung pendaratan pesawat Airbus dan Boeing 737.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.