Tuesday 23 November 2010

Tiga homestay sahut cabaran

KUCHING 22 Nov. – Tiga kawasan homestay di Sarawak yang terpilih menjadi calon Anugerah Pelancongan Homestay Utusan Bersih dan Indah pada tahun ini telah diadili oleh jawatankuasa anugerah tersebut pada 19 dan 20 November lalu. Tiga homestay dicalonkan bagi memenangi anugerah ini iaitu Homestay Kampung Mongkos, Samarahan; Homestay Kampung Benuk dan Homestay Kampung Annah Rais, masing-masingnya di Kuching.

Kriteria yang diberi penekanan dalam sesebuah homestay itu untuk memenangi anugerah tersebut adalah pengusaha homestay perlu mengekalkan kebersihan dan keindahan tempat-tempat pelancongan sekali gus menarik minat para pelancong untuk datang berulang-kali. Pengusaha homestay perlu mempunyai inisiatif serta kreativiti sendiri untuk menghijaukan kawasan rumah masing-masing dengan pelbagai tanaman seperti bunga-bungaan, sayur-sayuran, buah-buahan dan anak- anak pokok. Pada masa sama, para pengusaha homestay di negeri ini juga seharusnya mempunyai inisiatif untuk melaksanakan aktiviti penanaman pokok sebagai salah satu acara simbolik kepada para pelancong sekali gus menggalakkan persekitaran hijau seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan.

Inisiatif itu adalah sebagai menyahut seruan Kementerian Pelancongan yang melancarkan Kempen 1Malaysia Bersih, 1Malaysia Hijau baru-baru ini dalam usaha mencapai sasaran pendapatan RM12 bilion sebulan daripada sektor pelancongan dan kemasukan 36 juta pelancong asing menjelang tahun 2020. Sementara itu, jawatankuasa anugerah yang terlibat dalam mengadili ketiga-tiga homestay terbabit terdiri daripada wakil kementerian iaitu Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Derek Jutem; Penolong Pegawai Tadbir, Jamaiah Jamali serta Humphrey Robert Linggi; Bahagian Perkhidmatan Pelancongan, Zawani Razali; Konsultan Impact Creations Sdn. Bhd., Alia HM Jally serta wakil akhbar Utusan Malaysia.

Anugerah Pelancongan Homestay Utusan Bersih dan Indah dilancarkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin pada 29 September lalu. Anugerah itu merupakan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Utusan Malaysia serta pejabat-pejabat pelancongan negeri bagi memilih homestay terbaik selaras dengan Kempen 1Malaysia Bersih 1Malaysia Hijau bagi menyokong industri pelancongan negara. Setiap negeri menamakan tiga homestay terbaik untuk dikunjungi panel juri terdiri daripada wakil-wakil Kementerian Pelancongan dan Kumpulan Utusan serta juri perunding bermula Oktober 2010 sehingga April 2011 bagi memilih johan peringkat negeri. Pemenang akan menerima plak sumbangan Kumpulan Utusan bernilai RM500 dan sijil pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.