Tuesday 16 November 2010

RM4.5j projek keindahan Kampung Buntal

KUCHING 15 Nov. - Kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai RM4.5 juta untuk projek landskap dan keindahan Kampung Buntal dekat Santubong dalam usaha menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) mulai tahun depan. Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan tersebut termasuk dalam jumlah RM15 juta yang telah dipohon oleh beliau untuk projek yang sama bagi kawasan Kampung Santubong, Kampung Pasir Panjang serta Kampung Pasir Pandak. Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu, peruntukan tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan dan projek yang mahu dilaksanakan di keempat-empat kawasan terbabit akan lebih berkonsepkan kepada keindahan tebingan sungai atau laut.

''Untuk merancang projek berkenaan, pihak pelancongan, para penduduk dan saya sendiri akan berbincang bersama untuk memikirkan jenis pembangunan yang mahu dilaksanakan di kawasan masing-masing dalam usaha menjadikannya sebagai destinasi tarikan pelancong. ''Pada masa sama, projek terbabit sudah pastinya akan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk membuka perniagaan seperti restoran makanan laut atau mereka boleh terbabit dengan industri pelancongan itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini. Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,249 yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Santubong (RM5,250) dan Tabung Baitulmal Sarawak (RM4,999) kepada sembilan buah keluarga di Kampung Buntal yang menjadi mangsa ribut hingga merosakkan kediaman mereka baru-baru ini.

Wan Junaidi yakin apabila siap, projek tersebut akan merancakkan aktiviti serta industri pelancongan di Kampung Buntal kerana kawasan itu terkenal dengan produk makanan lautnya yang segar. Katanya, bagi Kampung Santubong pula, peruntukannya kemungkinan agak besar memandangkan kawasan tersebut perlu pembangunan infrastruktur jalan yang dianggarkan sebanyak RM1.8 juta manakala projek landskap dan keindahan kampung pula berjumlah RM3 juta. Tambah beliau, selain projek landskap dan keindahan kampung, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk menyediakan kemudahan pelancongan dan ruang perniagaan kepada para penduduk tempatan. ''Projek ini akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan setiap pelaksanaan dijayakan dalam tempoh dua tahun dan bukannya lima tahun seperti sebelum ini.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.